Polis mohon maklumat MCMC, siasat imej media jadi haiwan

Polis mohon maklumat MCMC, siasat imej media jadi haiwan

PUTRAJAYA: Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti profil pemilik akaun media sosial yang didakwa menghasilkan imej pengamal media menjadi haiwan selepas membuat permohonan mendapatkan maklumat berkaitan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata,ketika ini, permohonan kepada MCMC telah dibuat pihaknya bagi membantu mengenal pasti profil pemilik akaun berkenaan.

“Kes masih dalam siasatan, permohonan kepada MCMC telah dibuat untuk mengenal pasti profiling pemilik akaun,” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.

Katanya, pihaknya masih menunggu maklum balas daripada MCMC berhubung permohonan tersebut sebelum tindakan lanjut diambil.

Sebelum ini, polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat pemilik sebuah akaun media sosial yang mengubah gambar jurugambar dan wartawan menjadi lembu ketika menjalankan tugas membuat liputan kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pusara Negara.

Siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Siasatan itu dibuat selepas Kelab Media Putrajaya membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, selain mengemukakan aduan secara dalam talian kepada MCMC untuk tindakan lanjut.

Tindakan itu susulan janaan sekeping gambar memaparkan petugas media yang telah diubah menjadi seperti haiwan dan dimuat naik menerusi sebuah akaun media sosial.

Imej berkenaan turut disertakan dengan kapsyen ‘Akal waras semakin sukar ditemui’ yang didakwa menghina petugas media ketika mereka sedang melaksanakan tanggungjawab secara profesional. – UTUSAN

Scroll to Top