Suami, isteri maut nahas motosikal

Suami, isteri maut nahas motosikal

harisfadli@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pasangan suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan lori di Jalan Sungai Buloh susur masuk ke Sierramas, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 3.50 petang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 2.50 petang.

“Motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan.

lalu berlanggar dengan sebuah lori dipandu seorang lelaki tempatan berusia 30-an,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penunggang motosikal berusia 30-an bersama isterinya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, pemandu lori berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bagi siasatan lanjut termasuk menjalani ujian saringan awal air kencing.

“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas pemandu lori adalah negatif. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Maslina Musa di talian 013-4025834 bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu beberapa hantaran tular di media sosial memaparkan kemalangan membabitkan pasangan itu.

Mangsa wanita dikatakan bertugas sebagai seorang jururawat di Hospital Selayang.

Susulan itu Hospital Selayang dalam satu hantaran di Facebook mengesahkan Jururawat Terlatih Jabatan Kecemasan dan Trauma, Noor Athirah Yaacob meninggal dunia hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top