EURO: Ugut tinggalkan padang jika dihina perkauman

EURO: Ugut tinggalkan padang jika dihina perkauman

BUDAPEST: Georginio Wijnaldum bersedia untuk membawa pemain Belanda meninggalkan padang sekiranya mereka menerima layanan berunsur perkauman di Budapest.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) ketika ini sedang menjalankan siasatan susulan dakwaan penyokong Hungary mengeluarkan ‘bunyi’ berunsur penghinaan kepada pemain Perancis sebelum ini dan menayangkan kain rentang berunsur prejudis.

Belanda akan berdepan Republik Czech untuk slot ke suku akhir, namun kapten Oranje itu menyelar UEFA selepas disifatkan tidak mengambil langkah yang sewajarnya untuk membanteras isu rasisme.

“Anda boleh tewas kerana perkara seperti ini. Dalam hal ini, UEFA sepatutnya melindungi pemain dan mereka perlu membuat keputusan.

“Pemain sentiasa dihukum kerana melindungi diri sendiri, jadi UEFA perlu memainkan peranan yang penting dalam isu ini. Mereka sepatutnya menjadi pihak yang mengatakan ‘kalau perkara ini terjadi, kami akan batalkan perlawanan dan menghentikan permainan’.

“Saya mula berfikir ‘adakah patut saya meninggalkan padang’, mungkin itu apa yang akan saya buat.

“Jika perlu berbuat demikian, saya akan berbincang bersama rakan pasukan terlebih dulu. Sekiranya perkara itu terjadi dan pengadil memberhentikan perlawanan, pemain lawan akan berkata ‘kami tidak boleh menerima ini’ (rasisme) dan mereka juga turut meninggalkan padang.

“Ini akan memberikan perasaan yang lebih baik sebagai pemain dan menghantar mesej yang lebih jelas daripada melakukannya secara bersendirian. ” – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top