Jakarta: Juara bertahan, Marc Marquez berikrar untuk terus ‘menyerang’ pada setiap perlumbaan ketika dia cuba mengejar rakan senegara, Jorge Martin yang kini mendahului kedudukan kejuaraan MotoGP.
Marquez muncul juara di Jepun minggu lalu, sekali gus mengecilkan kelebihan Martin, juga dari Sepanyol, kepada hanya dua mata dengan enam perlumbaan berbaki musim ini.
“Saya akan cuba menyerang di setiap litar. Itu sasaran saya,” kata pelumba Ducati itu menjelang GP Indonesia di Lombok, minggu ini.
“Saya akan cuba memberikan yang terbaik dan perkara paling penting ialah… saya rasa sedikit lebih baik.
“Kami melakukan pelarasan jentera dengan cara berbeza, jadi kita lihat nanti,” katanya lagi.
Kemenangan Marquez di Motegi pada Ahad lalu menyaksikan juara dunia tujuh kali itu kembali menghampiri pendahuluan kejuaraan selepas kehilangan mata pada perlumbaan sebelumnya di Austria.
Martin, yang menunggang jentera Aprilia, kini mendahului dengan 333 mata, manakala Marquez mengumpul 331 mata dan pelumba Itali, Marco Bezzecchi di tempat ketiga dengan 284 mata.
“Saya rasa yakin, bukan kerana keputusan yang diraih, tetapi kerana perasaan yang saya dapat dengan jentera ini.
“Saya rasa semakin pantas dan pantas. Kini nampaknya kami mempunyai penyelesaian untuk setiap masalah yang saya hadapi,” kata Martin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




