am@hmetro.com.my
Foto Nazdy Harun
Kuala Terengganu: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedia berunding dengan mana-mana penyedia perkhidmatan bagi memasukkan sebarang aplikasi ke dalam MyKad generasi baharu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, pihaknya akan melakukan penambah baik terhadap MyKad generasi baharu dari semasa ke semasa.
“Sekiranya dilihat di belakang MyKad terdapat satu cip yang dipanggil aplikasi kecil (applet), di dalamnya ada ruang yang masih ada untuk kita masukkan aplikasi tertentu. Applet mempunyai komponen perisian yang membolehkan fungsi tertentu dimasukkan ke dalam cip.
“Jadi, masyarakat dinasihat tidak bimbang mengenai sesuatu aplikasi yang dahulunya ada namun kini sudah tiada kerana ia boleh ditambah,” katanya pada sidang selepas Majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Taman Sinar Harapan, Bukit Besar, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai ketiadaan fungsi Touch ‘n Go di dalam MyKad generasi baru yang dikeluarkan baru-baru ini.
Beliau berkata, kini, fungsi Touch ‘n Go sudah berada di platform lain yang dilakukan dengan inisiatif mereka sendiri.
Katanya, penyedia platform juga perlu mengemaskini sistem mereka untuk menyediakan perkhidmatan kepada pengguna.
“Begitu juga dengan sistem pengesahan identiti secara elektronik (eKYC), platformnya sudah ada di dalam MyKad.
“Sama ada bank, pemberi perkhidmatan atau pembelian dalam talian, mereka perlu menaiki taraf sistem untuk memastikan eKYC boleh digunakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




