am@hmetro.com.my
Kuantan: Semua institusi pendidikan daerah Rompin di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang diarah tutup sementara mulai esok.
JPN Pahang dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, penutupan itu berdasarkan keadaan semasa jerebu dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan di Rompin.
“Sepanjang tempoh penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hendaklah dilaksanakan melalui kaedah bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.
“Semua institusi pendidikan di daerah Rompin hendaklah memantau perkembangan bacaan IPU secara berterusan serta mematuhi arahan dan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pembukaan semula institusi pendidikan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JPN Pahang selepas keadaan dan bacaan IPU berada pada tahap yang membolehkan institusi beroperasi dengan selamat.
“Pihak institusi pendidikan juga hendaklah mengawal aktiviti yang boleh mendedahkan murid dan warga pendidikan kepada udara tidak sihat serta mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi keselamatan dan kesihatan mereka.
“JPN Pahang mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, guru serta seluruh warga pendidikan.
“Pemantauan berterusan akan dilaksanakan bersama Pejabat Pendidikan Daerah Rompin dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan yang diambil bersesuaian dengan perkembangan semasa,” menurut kenyataan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




