Peminat rayu sanggup berdiri, duduk di tangga asal dapat tonton PGL – Tiara

Peminat rayu sanggup berdiri, duduk di tangga asal dapat tonton PGL – Tiara

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Petaling Jaya : Penerbit dan pengarah teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL), Puan Sri Tiara Jacquelina mengaku terkilan apabila seramai 22,000 peminat gigit jari selepas gagal mendapatkan tiket pementasan epik berkenaan.

Tiara berkata, dia menerima pelbagai rayuan daripada peminat yang sanggup melakukan apa sahaja demi menyaksikan naskhah legenda itu kembali beraksi di pentas selepas 20 tahun.

“Ada yang merayu sanggup berdiri dan duduk di tangga asalkan dapat menonton. Terus terang saya rasa sangat bersalah dan kasihan kepada 22,000 orang yang beratur dalam talian.

“Kalaulah dewan itu milik kami, sudah tentu kami mahu masukkan semua orang. Tetapi sayangnya ada pementasan lain yang menanti sejurus selepas PGL,” katanya.

Mengulas lanjut, Tiara ketika ditemui pada sesi latihan PGL di sini, hari ini, memberitahu dia sendiri hanya sempat membeli satu tiket sahaja untuk suaminya, Tan Sri Effendi Norwawi.

“Satu tiket itu saya beli sekadar nak mencuba sebaik talian dibuka. Tak sangka rupanya tak sempat nak beli tiket yang lain untuk ahli keluarga yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Tiara meluahkan rasa terharu apabila PGL mencipta sejarah tersendiri apabila 23,000 tiket habis terjual dalam tempoh dua jam selepas jualan dibuka secara dalam talian.

“Kalau sesuatu karya itu bagus, ia pasti akan bertahan lama. Ini buktinya apabila 23,000 tiket habis dalam masa dua jam.

“Tak pernah terjadi di Malaysia untuk apa-apa persembahan sekalipun. Ini bukti jelas masih ramai mahu menonton PGL,” katanya.

Ekoran sambutan hangat daripada peminat serantau, Tiara mendedahkan pihaknya kini dalam perbincangan awal untuk membawa pementasan itu ke Singapura.

“Di media sosial, peminat dari Singapura turut bising dan mengadu tidak sempat merebut tiket. Dulu sewaktu kami ke Esplanade, pementasan mencatat rekod ‘full house’ sehingga terpaksa ditambah dua persembahan lagi.

“Kami sedang dalam perbincangan dengan pihak sana untuk melihat kemungkinan membawanya ke Singapura, namun pementasan sebesar ini bukan mudah untuk dipindahkan. Jika ada rezeki, insya-Allah,” katanya.

PGL kali ini melakar lembaran baharu apabila bakal dipentaskan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) Sunway Square yang diakui Tiara sebagai dewan teater paling canggih di Malaysia dengan kemudahan teknologi terkini.

Pementasan PGL dijadualkan berlangsung bermula 31 Oktober hingga 15 November ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top