norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Cabang industri hiburan yang pelbagai membuatkan kedatangan Belanjawan Negara setiap tahun mendorong persatuan penggiat seni mengharapkan ada insentif terbaik disediakan oleh kerajaan.
Selain persatuan muzik, pengarah filem, pekerja industri, pelakon, semestinya tidak dilupakan penggiat teater yang berhasrat agar cabang seni itu turut mendapat perhatian untuk insentif disediakan.
Pengerusi Persatuan Seni dan Budaya Redholah (The Redholah), Amirul Haswendy Ashari berkata, penggiat seni teater juga berharap agar ada insentif memberangsangkan daripada kerajaan buat mereka pada tahun depan.
“Harapan kami agar insentif geran-geran seperti Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP), Insentif Seni Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), MyCreative Ventures dapat disalurkan lebih adil buat penggiat teater.
“Terutama di segi ‘allocation’ (peruntukan), nilai dan skala pementasan, selain diberikan juga pengecualian atau pemotongan cukai kepada penonton yang membeli tiket menonton teater.
“Diharapkan juga semoga dapat diperluaskan skop pengecualian atau pemotongan cukai untuk tempat acara kerana difahamkan setakat ini hanya Istana Budaya (IB) dan Dewan Filharmonik Petronas (DFP) sahaja yang ada kelebihan itu.
“Selain itu, agar dapat diwujudkan juga bantuan dana khas untuk penerbitan teater berunsurkan bangsawan dan kenegaraan bagi memupuk kefahaman terhadap seni budaya, persembahan tradisional serta warisan bangsa dan tanah air,” katanya kepada Harian Metro.
Difahamkan dana-dana bantuan utama yang bersesuaian untuk penggiat teater itu diselia oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memartabatkan industri kebudayaan, kesenian dan pelancongan Malaysia.
The Redholah yang kini baru memasuki tahun keempat penubuhan, dimaklumkan Amirul merancang giat membuat persembahan untuk mementaskan lebih banyak teater dengan tema kenegaraan pada 2027 nanti.
Sebelum ini The Redholah pernah menerbitkan Teater Bangsawan Dang Anum, Dang Anum (The Untold Story), Cinta Ahmad Mutawakkil, termasuk perancangan Teater Dendam Laksamana – Demi Takhta dan Kuasa, Teater Gelanggang Tok Wali dan satu naskhah teater kanak-Kanak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat esok, sekali gus ditunggu-tunggu semua rakyat Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




