MINDEF sentiasa pantau ancaman keselamatan moden

MINDEF sentiasa pantau ancaman keselamatan moden

yusri.muzamir@bh.com

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan sentiasa melaksanakan pemantauan secara aktif dan berterusan bagi memperkukuh keupayaan pertahanan siber dan elektromagnetik negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, prosedur itu dilaksanakan bagi menghadapi ancaman keselamatan moden termasuk serangan menggunakan Kecerdasan Buatan Otonom (AAI).

Pemantauan itu, katanya, dibuat melalui Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) di bawah Pemerintahan Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (PSEP) dan Pusat Perisikan Ancaman Siber (CTIC) seliaan Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO).

“Sebagai langkah pengukuhan persediaan menghadapi ancaman moden, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga sedang melaksanakan pendekatan merangkumi pembangunan organisasi, keupayaan teknologi, modal insan dan kerjasama strategik.

“Antara pendekatan berkenaan ialah menubuhkan Pemerintahan Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (PSEP), bertujuan memperkukuh pertahanan siber serta elektromagnetik ATM, selaras dapatan dan hala tuju Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan.

“Memperkukuh kesiapsiagaan dan pembangunan kepakaran ATM melalui latihan, peningkatan kompetensi dan pengiktirafan pakar bidang (SME) dalam bidang siber, elektromagnetik, komunikasi serta kecerdasan buatan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai langkah Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) ATM menangani ancaman peperangan siber dan elektromagnetik moden, terutama ancaman memanfaatkan AAI oleh entiti asing terhadap sistem komunikasi pertahanan negara.

Mohamed Khaled berkata, ATM turut melancarkan Tim Nukleus Angkatan Siber pada 19 September lalu sebagai langkah berstruktur ke arah penubuhan Angkatan Siber sebagai cabang perkhidmatan keempat ATM, yang disasarkan beroperasi sepenuhnya menjelang 2030.

Tim itu, katanya, bertanggungjawab menyelaras perancangan dan pembangunan Angkatan Siber, merangkumi struktur organisasi, doktirn operasi, keperluan perjawatan dan pembangunan keupayaan.

“Usaha ini khususnya membabitkan penyepaduan keupayaan ATM dalam Aktiviti Siber dan Elektromagnetik (CEMA); Pemerintahan, Kawalan, Komunikasi dan Komputer (C4); perisikan serta angkasa bagi memastikan koordinasi maklumat dan tindak balas lebih bersepadu ke atas sebarang ancaman moden.

“ATM juga memperkukuh kerjasama strategik dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), CyberSecurity Malaysia, industri, institusi pengajian tinggi dan rakan strategik pertahanan, terutama dalam perkongsian maklumat ancaman, kepakaran serta latihan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top