austin@nst.com.my
KUALA LUMPUR: Taktik licik sindiket menjual Permit Memandu Antarabangsa (IDP) palsu kepada warga asing pada harga sehingga RM500 terbongkar selepas dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Lebih mengejutkan, dokumen itu turut dilengkapi pautan laman web khas bagi memperdaya pihak berkuasa kononnya ia sah dan berdaftar.
Permit mengelirukan yang mendakwa sah sehingga lima tahun itu dikesan dan dirampas dalam operasi penguatkuasaan terhadap pemandu warga asing di ibu negara, baru-baru ini.
Semakan mendapati dokumen itu memaparkan butiran laman web yang membolehkan nombor siri permit disemak secara dalam talian, dipercayai dibangunkan sendiri oleh sindiket sebagai lapisan ‘penyamaran’ bagi meyakinkan anggota penguat kuasa serta pembeli.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, pihaknya mengesan kewujudan kegiatan menawarkan dokumen didakwa IDP kepada warga asing, sedangkan kesahihannya dari sudut undang-undang di negara ini amat meragukan.
“Kami mengesan tawaran dokumen yang didakwa sebagai Permit Memandu Antarabangsa kepada warga asing dengan bayaran sehingga RM500 serta tempoh sah dipercayai sehingga lima tahun.
“Dokumen ini dipercayai tidak memenuhi syarat pengiktirafan untuk memandu secara sah di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, situasi itu amat membimbangkan kerana warga asing yang membeli dokumen berkenaan mungkin terpedaya dan menyangka mereka memegang lesen memandu yang sah.
Beliau menegaskan, pemilikan dokumen yang mempunyai tertera perkataan ‘International Driving Permit’ tidak mengandungi hak automatik untuk memandu di jalan raya di negara ini.
“Dokumen sedemikian mestilah dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan atau pihak yang diberi kuasa oleh negara berkenaan, selain perlu memenuhi syarat pengiktirafan yang terpakai di Malaysia,” katanya.
Hamidi turut menjelaskan bahawa IDP yang dikeluarkan oleh JPJ Malaysia hanya sah untuk tempoh satu tahun di bawah Konvensyen Lalu Lintas Jalan Raya yang ditandatangani di Geneva pada 19 September 1949, dan penggunaannya tertakluk kepada undang-undang negara berkaitan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan warga asing agar tidak terpedaya dengan tawaran dokumen memandu antarabangsa daripada individu atau organisasi yang tidak diiktiraf.
“JPJ tidak akan berkompromi terhadap penggunaan dokumen memandu yang tidak sah. Tindakan tegas mengikut undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” katanya.
Pembongkaran itu dibuat susulan langkah JPJ Kuala Lumpur mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap pemandu warga asing menerusi Ops Pewa.
Dalam operasi semalam, sebanyak 47 kenderaan disita daripada 121 yang diperiksa, merangkumi 40 motosikal, empat kereta dan tiga kenderaan barangan.
Satu jumlah keseluruhan 273 notis turut dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas pelbagai kesalahan, antaranya tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans dan kesalahan teknikal.
Operasi berkenaan turut menyaksikan 58 warga asing terdiri daripada pemandu, pembonceng dan kelindan kenderaan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




