Pentagon sahkan hukuman mati terhadap Nidal Hasan disiarkan secara langsung

Pentagon sahkan hukuman mati terhadap Nidal Hasan disiarkan secara langsung

Tentera AS siar langsung hukuman mati skuad tembak terhadap penyerang Fort Hood

Washington: Hukuman mati terhadap Nidal Hasan, bekas anggota tentera yang disabitkan membunuh dalam serangan di pangkalan tentera Fort Hood, akan disiarkan secara langsung menerusi penstriman, kata seorang pegawai Pentagon pada Khamis, selepas Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, berkata hukuman itu akan dilaksanakan secara “terbuka”.

Hasan, seorang pakar psikiatri Tentera Darat AS, menembak mati 13 orang di Fort Hood pada 2009. Hukuman matinya akan menjadi yang pertama dilaksanakan oleh tentera AS sejak 1961, selain hukuman mati pertama menggunakan skuad tembak sejak Perang Dunia Kedua.

“Ia akan disiarkan secara langsung. Butiran lanjut akan menyusul,” kata pegawai Pentagon itu kepada AFP dengan syarat identitinya dirahsiakan.

Dalam video yang dimuat naik di akaun rasmi Pentagon di platform X pada Khamis, Hegseth berkata Hasan akan berdepan “skuad tembak yang terdiri daripada anggota tentera, seperti yang sepatutnya”, sambil memastikan orang ramai dapat menyaksikan pelaksanaan hukuman itu secara terbuka.

“Orang ramai perlu memahami bahawa… perbuatan seperti ini mempunyai akibat yang serius,” kata Hegseth ketika ditemu bual pempengaruh berhaluan kanan, Jack Posobiec, di atas kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln.

Hegseth berkata hukuman itu akan menjadi pelaksanaan hukuman mati menggunakan skuad tembak yang pertama oleh tentera AS sejak Perang Dunia Kedua, merujuk kes Eddie Slovik yang dihukum mati kerana meninggalkan tugas ketenteraan pada 1945.

“Saya agak menyukai mentaliti yang kita miliki ketika Perang Dunia Kedua, iaitu menang, dan memahami bahawa apabila musuh menyerang, kita perlu mempertahankan kedudukan,” katanya.

Dalam satu lagi klip, Posobiec bertanya kepada ketua Pentagon itu sama ada Hasan membuat sebarang permintaan terakhir.

“Tidak peduli. Kita akan melihatnya pada 3 Disember,” kata Hegseth, merujuk tarikh Hasan dijadualkan menjalani hukuman mati.

Pelaksanaan hukuman mati terakhir oleh tentera AS berlaku pada 1961 apabila John Bennett dihukum gantung atas kesalahan merogol dan cubaan membunuh.

Afghanistan dan Iran

Menurut kumpulan hak asasi Amnesty International, sekurang-kurangnya 17 pelaksanaan hukuman mati secara terbuka diketahui berlaku pada 2025, termasuk enam di Afghanistan dan 11 di Iran.

Pusat Maklumat Hukuman Mati (Death Penalty Information Center) memaklumkan seramai 135 anggota tentera telah dihukum mati oleh tentera AS sejak 1916.

Pentagon mengumumkan awal minggu ini bahawa Presiden AS, Donald Trump, meluluskan pelaksanaan hukuman mati terhadap Hasan berhubung serangan yang diilhamkan al-Qaeda itu.

Seramai 12 daripada mangsa yang dibunuh dan 30 daripada mereka yang cedera ialah anggota tentera. Hasan ditembak dan mengalami kelumpuhan separa oleh seorang anggota polis awam yang bertindak balas terhadap serangan berkenaan.

Dia dijatuhi hukuman mati oleh juri tentera pada 2013.

Hasan memilih untuk membela dirinya sendiri ketika perbicaraan, tetapi tidak memanggil saksi atau memberikan keterangan dan tidak berusaha menafikan pertuduhan terhadapnya. Peguam bela yang dilantik mahkamah menyuarakan kebimbangan bahawa Hasan mahu dirinya dihukum mati.

Mahkamah yang mensabitkannya dimaklumkan bahawa Hasan menentang pendudukan tentera AS di Iraq dan Afghanistan. Dia juga pernah berkomunikasi dalam talian dengan tokoh yang didakwa mempunyai kaitan dengan al-Qaeda, pendakwah radikal Anwar al-Awlaki, seorang warga AS yang kemudiannya terbunuh dalam serangan dron AS di Yaman.

Walaupun kejadian tembakan beramai-ramai kerap berlaku di Amerika Syarikat, insiden seumpama itu jarang berlaku di kemudahan tentera.

Pada 2025, seorang anggota tentera melepaskan tembakan di sebuah pangkalan tentera AS di Georgia, mencederakan lima anggota tentera lain sebelum dia ditumpaskan dan ditahan.

Pada 2019, seorang anggota Tentera Laut AS menembak mati dua orang dan mencederakan seorang lagi di sebuah pangkalan di Hawaii. Pada tahun sama, seorang pelajar tentera Arab Saudi menembak mati tiga orang di sebuah kemudahan tentera di Florida.

Pada 2015, seorang warga AS kelahiran Kuwait menyerang dua kemudahan tentera di Tennessee, membunuh empat anggota Kor Marin dan seorang anggota Tentera Laut. Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menyimpulkan keganasan itu didorong oleh pengaruh “kumpulan pengganas asing”.

— AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top