nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Penjawat awam perlu memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif Belanjawan 2027 dilakukan dengan pantas dan berkesan bagi membolehkan manfaat ekonomi dirasai rakyat secara menyeluruh.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata seluruh anggota perkhidmatan awam perlu bersedia menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai Waad Nasional dalam menyokong dasar kerajaan.
Beliau berkata, pelaksanaan berkesan amat penting bagi memastikan pelbagai inisiatif yang diumumkan kerajaan memberi impak positif kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Bagi seluruh anggota perkhidmatan awam, saya yakin kita semua sentiasa bersiap sedia menggalas segala amanah dan tanggungjawab ini sebagai Waad Nasional.
“Serta terus menyokong dasar kerajaan dengan pelaksanaan yang pantas dan berkesan demi memastikan impak limpahan ekonomi yang luar biasa dapat dirasai secara bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut mengenai Belanjawan 2027 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau percaya segala angka dan nilai peningkatan peruntukan adalah sebuah keazaman dan tekad Kerajaan MADANI untuk meletakkan kebajikan
rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Katanya, peruntukan keseluruhan RM459.8 bilion mencerminkan komitmen kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat, selain mengimbangi pembangunan negara dengan kemampanan ekonomi dan daya tahan fiskal.
“Daripada jumlah berkenaan, RM376.8 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan operasi (OE) dan RM83 bilion bagi perbelanjaan pembangunan (DE) berpandukan kepada lapan Lunas Utama yang digariskan.
“Ia adalah sebuah naskhah komprehensif mencakupi semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum
dan batas umur yang menterjemahkan semangat kebersamaan dan progresif.
“Belanjawan ini juga menzahirkan aspirasi Malaysia MADANI yang mengimbangi antara pembangunan negara serta kemampanan ekonomi dan daya tahan fiskal,” katanya.
Antara inisiatif yang disifatkan sebagai penghargaan kerajaan kepada rakyat dan penjawat awam termasuklah kenaikan gaji minimum kepada RM2,000, peruntukan subsidi, bantuan dan insentif berjumlah RM80 bilion serta Bantuan Khas Kewangan RM1,500 kepada penjawat awam dan RM750 kepada pesara.
Beliau berkata, pelbagai galakan dan pengecualian cukai yang diumumkan turut mencerminkan usaha kerajaan memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terus terbela.
Menurutnya, Belanjawan 2027 bertemakan Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi itu merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan peringkat umur, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan Menteri Kewangan di atas pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Parlimen hari ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




