Belanjawan 2027: Lebih 103,000 kontraktor lega

Belanjawan 2027: Lebih 103,000 kontraktor lega

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Lebih 103,000 atau 75 peratus kontraktor gred G1 hingga G4 daripada keseluruhan 138,000 kontraktor di seluruh negara akan mendapat manfaat daripada pengumuman Belanjawan 2027 apabila nilai perolehan kerajaan ditingkatkan kepada RM7.5 bilion, berbanding RM4 bilion tahun ini.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata, pengumuman itu memberi kelegaan dan nafas baru kepada kontraktor kecil dan sederhana.

Pada masa sama, Mohd Rosdi turut mengharapkan projek yang diumumkan membabitkan kesemua kementerian itu dapat dilaksanakan sepenuhnya tahun hadapan dan tidak tertangguh sehingga ke tahun seterusnya.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sebahagian cadangan dan pandangan kami ketika sesi libat urus minggu lalu diberi perhatian oleh kerajaan terutama peruntukan kerajaan sebanyak RM83 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

“Malah, pengagihan kepada kementerian-kementerian utama yang mempunyai kaitan dengan pihak kontraktor juga menyaksikan peruntukan yang besar.

“Lebih-lebih lagi nilai perolehan peruntukan kerajaan yang dikhususkan untuk kontraktor bumiputera G1 hingga G4 dinaikkan kepada RM7.5 bilion berbanding kini RM4 bilion dan peningkatan yang diumumkan ini sangat ketara.

“Kumpulan G1 hingga G4 membabitkan 75 peratus iaitu 103,500 kontraktor daripada jumlah keseluruhan kontraktor 138,000 di seluruh negara. Mereka ini tergolong daripada kontraktor kecil dan sederhana dan pengumuman ini memberi kelegaan kepada kumpulan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Rosdi berharap sebahagian besar daripada keseluruhan RM7.5 bilion itu menggunakan kaedah perolehan projek menerusi cabutan undi berbanding sebut harga yang disifatkan mampu mengekang ketirisan.

“Ini kerana kaedah cabutan undi lebih telus dan adil selain memberi peluang dan lebih terbuka kepada kumpulan kontraktor terbabit,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2027 mengumumkan nilai perolehan kerajaan yang dikhususkan untuk kontraktor bumiputera G1 hingga G4 ditingkatkan kepada RM7.5 bilion berbanding RM4 bilion tahun ini.

Katanya, bagi kerja selenggara, pembaikan dan penambahbaikan fasiliti kerajaan, had perolehan lantikan terus dibenarkan sehingga RM200,000 dan sebut harga sehingga RM3 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top