Trump lantik ‘penyokong setia’ jadi Setiausaha Akhbar Rumah Putih

Trump lantik ‘penyokong setia’ jadi Setiausaha Akhbar Rumah Putih

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, melantik pengulas konservatif, Katie Zacharia, sebagai setiausaha akhbar baharu Rumah Putih, menggantikan Karoline Leavitt yang meletakkan jawatan pada Ogos lalu.

Trump mengumumkan pelantikan itu menerusi platform Truth Social miliknya, sambil menyifatkan Zacharia sebagai penyokong setia yang cemerlang sejak awal.

“Beliau mempunyai rekod sokongan yang tidak tercemar serta menjadi penyokong setia dan cemerlang sejak awal lagi,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Trump turut menyifatkan Zacharia sebagai peminat dan anggota setia gerakan Make America Great Again (MAGA) yang menjadi slogan politiknya.

Zacharia, seorang peguam dan penasihat komunikasi kepada syarikat media milik Trump, sebelum ini turut terlibat dalam kempen pilihan raya presiden beliau.

Trump berkata, beliau yakin Zacharia mampu menjalin hubungan baik dengan kor media Rumah Putih.

Dalam hantaran di platform X, Zacharia mengucapkan terima kasih kepada Trump atas peluang berkhidmat sebagai setiausaha akhbar Rumah Putih.

Pelantikan itu menyusuli peletakan jawatan Leavitt pada Ogos lalu, yang menjadi antara jurucakap paling menonjol dalam pentadbiran kedua Trump.

Beliau berkata, kepercayaan Trump merupakan satu penghormatan besar, manakala kepimpinan Presiden itu adalah satu rahmat kepada negara berkenaan.

“Tugas seterusnya adalah meneruskan usaha mencapai kejayaan besar untuk negara kita serta menyampaikan kepada rakyat Amerika pencapaian utama pentadbiran ini setiap hari,” tulisnya.

Zacharia kini berkhidmat sebagai penasihat kanan komunikasi di Trump Media and Technology Group, syarikat yang mengendalikan platform Truth Social milik Presiden itu.

Trump menyifatkan prestasi Zacharia di syarikat berkenaan sebagai cemerlang.

Zacharia yang kerap muncul sebagai pengulas di rangkaian televisyen konservatif termasuk Fox News dan Newsmax, sebelum ini pernah berkhidmat untuk tempoh singkat sebagai jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), agensi yang menyelia penguatkuasaan undang-undang imigresen AS.- AGENSI

Scroll to Top