syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki menangkis dakwaan kononnya filem tempatan semakin tenat apabila ia berjaya mencatatkan kutipan box office melebihi RM250 juta sepanjang tahun lalu.
Afdlin berkata, pencapaian itu membuktikan industri perfileman tempatan bukan sahaja terus relevan, malah berupaya menewaskan penguasaan filem antarabangsa di pawagam tanah air.
Menurutnya, persepsi skeptikal sesetengah pihak yang memandang rendah kemampuan naskhah tempatan berbanding filem Hollywood kini terbatal menerusi angka jualan tiket yang memberangsangkan.
“Selama ini kita asyik dengar orang kata filem Malaysia dah mati, orang tak nak tengok filem Melayu dan pawagam dah tak relevan, tapi tengoklah angka kutipan (tiket) kita.
“Filem tempatan sudah membuktikan kemampuan untuk bersaing dengan filem antarabangsa. Malah, dalam tempoh tertentu tahun ini, jumlah penonton filem tempatan mengatasi filem Hollywood,” katanya.
Afdlin turut mendedahkan beberapa naskhah tempatan berjaya mencetuskan fenomena dengan mengutip pendapatan mencecah puluhan juta ringgit.
“Ada filem kita yang mengutip lebih RM10 juta, RM20 juta, RM30 juta, malah melebihi RM70 juta. Kalau inilah yang dikatakan industri sedang nazak, saya tak sabar nak tengok apa jadi bila industri ini betul-betul sihat,” katanya.
Katanya, angka RM250 juta itu hanya merangkumi kutipan tayangan di pawagam dan belum mengambil kira pendapatan menerusi platform penstriman (OTT), hak siaran televisyen serta aktiviti kreatif lain.
Dalam pada itu, Afdlin menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2027 mengenai pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi tiket filem tempatan di Wilayah Persekutuan bermula tahun depan kerana disifatkan sebagai pemangkin ekosistem perniagaan filem lebih mampan.
“Kami bukan meminta belas kasihan, kami meminta peluang untuk terus berkembang. Kami ada bakat, ada cerita dan ada penonton,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




