am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seorang pemandu lori direman empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kemalangan membabitkan 12 kenderaan di lampu isyarat simpang tiga Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, lelaki berusia 51 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Reman selama empat hari,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, Sarudin menerusi kenyataan memaklumkan pemandu yang merempuh 11 kereta itu disahkan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Katanya, kemalangan kira-kira 4.20 petang itu membabitkan 12 kenderaan, termasuk lori dipandu lelaki terbabit.
“Berdasarkan siasatan awal, pemandu lori itu mendakwa kenderaan mengalami masalah brek ketika menuruni bukit dari arah Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam sebelum hilang kawalan.
“Lori itu kemudian terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar 11 kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat.
“Ujian pernafasan bagi mengesan kadar alkohol dan ujian air kencing dijalankan ke atas pemandu lori dan mendapati dia positif amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, lelaki berkenaan turut mendakwa lori dipandunya mengalami masalah brek sebelum hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan.
Dalam kemalangan itu, empat individu cedera, termasuk seorang lelaki yang parah dan dirawat di Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, Puncak Alam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




