yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terkorban dalam insiden serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh, Arab Saudi, semalam.
Dalam kenyataan, Wisma Putara hari ini berkata, pihaknya bersama Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh bagaimanapun sedang berhubung dengan beberapa rakyat Malaysia yang dalam perjalanan dan terkandas untuk memberi bantuan konsular.
“Rakyat Malaysia yang menetap, sedang dalam perjalanan melalui atau merancang untuk melakukan perjalanan ke Arab Saudi amat digesa supaya sentiasa berwaspada.
“Ini memandangkan gangguan penerbangan masih berterusan, mereka yang mempunyai rancangan perjalanan dalam masa terdekat dinasihatkan supaya mengesahkan status penerbangan masing-masing secara langsung dengan syarikat penerbangan sebelum ke lapangan terbang.
“Rakyat Malaysia turut dinasihatkan supaya bersedia menghadapi kemungkinan kelewatan atau pembatalan penerbangan, sentiasa mengikuti perkembangan melalui saluran rasmi dan mematuhi sepenuhnya arahan keselamatan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Dalam kejadian semalam, 12 orang terkorban manakala 309 lain cedera akibat serangan di lapangan terbang utama di ibu negara Arab Saudi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




