Jerebu: Sekolah ditutup, Pemuda UMNO Johor saran majikan benarkan ibu bapa ‘WFH’

Jerebu: Sekolah ditutup, Pemuda UMNO Johor saran majikan benarkan ibu bapa ‘WFH’

Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menyarankan majikan supaya membenarkan ibu bapa bekerja dari rumah (WFH) atau menggunakan waktu kerja fleksibel susulan penutupan sekolah di Johor akibat jerebu.

Tutup sekolah demi lindung kesihatan murid

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros menyatakan, keputusan menutup sekolah demi melindungi kesihatan murid wajar disokong, namun situasi itu turut memberi cabaran kepada ibu bapa yang perlu bekerja seperti biasa.

”Ramai ibu bapa berada dalam dilema. Mereka diwajibkan hadir ke tempat kerja, sedangkan anak-anak terpaksa ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan. Pada masa yang sama, perjalanan harian dalam keadaan jerebu turut mendedahkan mereka kepada risiko kesihatan,” katanya.

Pengalaman pandemik bukti banyak sektor boleh WFH

Menurut beliau, pengalaman ketika pandemik COVID-19 membuktikan bahawa banyak sektor pekerjaan masih mampu mengekalkan produktiviti menerusi pelaksanaan kerja dari rumah.

Justeru, pendekatan itu disifatkan wajar dilaksanakan sementara bagi membantu keluarga yang terkesan dengan penutupan sekolah.

Pemuda UMNO Johor turut mencadangkan agar kemudahan WFH diberikan kepada ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah bagi jawatan yang bersesuaian, manakala waktu kerja fleksibel boleh dipertimbangkan untuk pekerja yang tidak dapat bekerja dari rumah.

”Kami yakin pendekatan ini bukan sahaja meringankan beban ibu bapa, malah dapat mengekalkan produktiviti dan meningkatkan semangat pekerja. Majikan yang prihatin akan memperoleh kesetiaan dan komitmen yang lebih tinggi daripada pekerjanya,” ujar beliau.

Pemuda UMNO Johor berharap kerjasama majikan dapat membantu ibu bapa menguruskan tanggungjawab keluarga dengan lebih baik sepanjang tempoh penutupan sekolah, tanpa menjejaskan kelancaran urusan pekerjaan ketika berdepan situasi jerebu.

Scroll to Top