PETALING JAYA: Selangor berdepan kejutan di laman sendiri apabila tewas 2-3 kepada Star City FC dalam aksi suku akhir kedua Piala FA 2026/27 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi, namun tetap mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.
Kemenangan 4-1 pada aksi pertama memastikan Gergasi Merah mengatasi lawan dengan agregat 6-4 untuk menempah pertemuan dengan Kuching City dalam perebutan tiket ke final.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Selangor bermula garang apabila Ahmad Zikri Mohd Khalili membuka tirai jaringan seawal minit kelapan.
Memuatkan artikel berkaitan…
Vitor Pernambuco kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-32 untuk membolehkan tuan rumah menuju rehat dengan mendahului 2-0.
Bagaimanapun, Star City mempamerkan kebangkitan selepas rehat apabila Moses Atede merapatkan jurang pada minit ke-62.
Pedro Santos menyamakan kedudukan pada minit ke-75 sebelum pemain gantian, Ramon Machado, melengkapkan kemenangan pelawat menerusi jaringan pada minit ke-90.
Walaupun gagal mempertahankan kelebihan dalam aksi kedua, Selangor tetap mencapai matlamat utama apabila kemenangan pada perlawanan pertama menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.
Kini, Gergasi Merah perlu segera memperkemas prestasi menjelang pertemuan dengan Kuching City di separuh akhir jika mahu meneruskan misi memburu kejuaraan.-UTUSAN




