Gara-gara pengisar tidak dicuci, budak maut selepas minum susu kocak

Gara-gara pengisar tidak dicuci, budak maut selepas minum susu kocak

LONDON – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun meninggal dunia akibat reaksi alahan serius selepas meminum susu kocak berperisa coklat yang disediakan menggunakan mesin pengisar tidak dicuci di sebuah kafe di London, England.

Mangsa, Mia Shay St Hilaire yang mempunyai alahan terhadap kacang hazel, mengalami reaksi alahan melampau atau anafilaksis selepas meminum minuman berkenaan di Pop Inn Cafe, Southwark Park Road pada Ogos 2023.

Menurut laporan BBC, inkues kematian mangsa di Mahkamah Koroner Inner South London pada Khamis lalu mendapati minuman tersebut tercemar dengan sisa kacang hazel daripada susu kocak yang disediakan sebelum itu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pengendali kafe, Baris Yucel menggunakan mesin pengisar sama tanpa membersihkannya terlebih dahulu sebelum menyediakan minuman untuk Mia.

Ketika kejadian, kanak-kanak itu mengunjungi kafe berkenaan bersama ibu saudara dan kakaknya.

Selepas meminum susu kocak tersebut, Mia mengalami reaksi alahan yang berkembang dengan pantas sebelum rebah di rumah ibu saudaranya.

Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan, namun meninggal dunia akibat komplikasi alahan tersebut.

Siasatan mendapati sisa bahan daripada minuman terdahulu telah mencemarkan susu kocak Twix yang sepatutnya tidak mengandungi kacang hazel.

Susulan kejadian itu, Majlis Perbandaran Southwark mengambil tindakan undang-undang terhadap Yucel atas kegagalan mematuhi peraturan keselamatan makanan.

Pengendali kafe berkenaan mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan, termasuk gagal memaparkan maklumat alergen kepada pelanggan dan tidak mengambil langkah sewajarnya bagi mencegah pencemaran silang ketika menyediakan makanan serta minuman.

Beliau turut didapati menghidangkan minuman yang mengandungi bahan pencetus alahan yang tidak sepatutnya berada dalam produk berkenaan.

Pada Januari 2025, Yucel dikenakan denda sebanyak 18,000 paun sterling (RM97,255) dan diperintahkan menjalani 100 jam khidmat masyarakat selepas mengaku bersalah terhadap kesalahan berkaitan keselamatan makanan.

Kes berkenaan kembali mendapat perhatian selepas inkues pada 8 Oktober 2026 memperincikan bagaimana kegagalan membersihkan peralatan penyediaan minuman menyumbang kepada kematian kanak-kanak tersebut.

Keluarga Mia turut menggesa supaya prosedur pengurusan alergen di premis makanan diperkukuh bagi mengelakkan tragedi sama berulang. – Agensi

Scroll to Top