Kes membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, terus mendapat perhatian apabila dua anggota polis yang mendakwa dikasari beliau tampil membuat laporan tambahan bagi membantu siasatan.
Foto: Harian Metro
Memetik laporan Sinar Harian, kedua-dua anggota berkenaan dilaporkan mengemukakan laporan polis tambahan pada Sabtu lalu dengan menyertakan keterangan baharu yang dianggap penting dalam kes tersebut.
Peguam yang mewakili mereka, Kamal Hisham Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin berkata, terdapat beberapa fakta material yang perlu diberikan perhatian oleh pihak berkuasa bagi menentukan sama ada wujud unsur kesalahan jenayah.
“Kami berpandangan bahawa terdapat fakta-fakta material dalam kes ini yang menjurus kepada kemungkinan telah berlakunya kesalahan-kesalahan (termasuk tetapi tidak terhad kepada) di bawah Seksyen 186, 323, 353, 355 dan/atau 506 Kanun Keseksaan.
“Kami menyerahkan sepenuhnya siasatan kes ini kepada polis dan Jabatan Peguam Negara untuk menilai serta membuat keputusan dalam kes ini demi kepentingan keadilan semua pihak,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, pihak peguam turut membidas penyebaran dakwaan tidak benar yang didakwa menyasarkan kedua-dua anak guam mereka serta firma guaman yang mengendalikan kes berkenaan.
Antara dakwaan yang dipertikaikan termasuk tuduhan kononnya kos guaman dua anggota polis terbabit ditanggung oleh sindiket jenayah yang didakwa mempunyai kaitan dengan mereka.
Pihak peguam menegaskan bahawa meskipun kebebasan bersuara dijamin menerusi Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, hak tersebut tetap tertakluk kepada batasan undang-undang.

“Sebarang kenyataan tidak benar itu boleh disiasat pihak berkuasa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelasnya.
Sehubungan itu, tindakan undang-undang termasuk saman sivil tidak akan teragak-agak diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan kenyataan tidak benar berhubung kes tersebut.
Terdahulu, pada 28 September lalu, tular rakaman video memaparkan seorang lelaki yang kelihatan seperti Mohd Shuhaily sedang memarahi seorang individu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).**
Susulan kontroversi itu, Mohd Shuhaily pada 1 Oktober menyatakan kesediaannya menerima apa sahaja keputusan atau tindakan yang bakal diambil berhubung insiden berkenaan.
Beliau turut menegaskan pendiriannya untuk memastikan KLIA tidak menjadi seperti Selayang, selain mahu membanteras kegiatan ‘ulat’ warga asing di pintu masuk utama negara itu.
Sumber: Sinar Harian (Ahmad Ismadi Ismail)




