SKUAD bola sepak wanita Bawah 17 Tahun (B-17) negara mempunyai potensi dan bakat besar untuk melangkah lebih jauh sekiranya diberikan lebih banyak pendedahan serta peluang perlawanan kompetitif.
Pandangan itu disuarakan pengendali skuad Malayan Tigress B-17, Takayoshi Ishihara yang tetap optimis dengan masa depan anak buahnya biarpun terpaksa melupakan impian ke pentas Piala Asia Wanita B-17 2027.
Pada aksi terakhir Kumpulan E kelayakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Ahad, skuad negara terpaksa akur gagal merebut slot ke pusingan akhir selepas tewas 0-4 kepada India.
“Saya percaya pemain-pemain wanita Malaysia memiliki bakat yang baik, cuma mereka masih belum mempunyai banyak pengalaman.
“Namun, jika kita berikan mereka peluang untuk terus meningkat, saya yakin mereka mampu pergi lebih jauh.
“Ada pemain mempunyai kepantasan, ada kemahiran yang baik dan ada juga yang mantap di bahagian pertahanan. Kita boleh menang dan kita akan menang sebagai satu pasukan yang mantap, sama seperti Jepun dan India. Saya mahu meneruskan perjalanan ini,” katanya.
Mengulas mengenai kegagalan menembusi pusingan akhir, pengendali kelahiran Jepun itu mengakui sasaran awal mereka adalah untuk mara ke pusingan seterusnya dan keyakinan itu turut dirasai oleh seluruh pasukannya sebelum ini.
“Secara jujurnya, kali ini kami sememangnya berhasrat untuk layak. Malah barisan pemain juga percaya kami mampu melakukannya.
“Saya tidak rasa ia sesuatu yang mustahil untuk melepasi peringkat seterusnya. Secara jujur, saya percaya kami boleh melakukannya dan kami mampu layak pada masa akan datang,” ujarnya.



