am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Malaysia Airlines menjadualkan semula penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini, ke Jeddah yang dijadualkan esok berikutan peningkatan kebimbangan keselamatan yang menjejaskan perjalanan udara di Arab Saudi.
Menerusi satu notis yang tular di media sosial, syarikat penerbangan itu memaklumkan penerbangan MH154 dari Senai ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz yang sepatutnya berlepas jam 2.50 petang esok dijadualkan semula.
Syarikat penerbangan berkenaan menyatakan pengaturan perjalanan alternatif bagi pembatalan operasi standard akan disediakan dalam tempoh tiga jam, manakala pilihan bagi keadaan luar biasa akan dimaklumkan sebaik sahaja disahkan.
Sehubungan itu, semua penumpang dinasihatkan supaya tidak hadir ke lapangan terbang sehingga menerima pengesahan mengenai pengaturan penerbangan baharu mereka.
Penjadualan semula itu berlaku susulan laporan gangguan penerbangan yang lebih meluas di Arab Saudi berikutan siri serangan ke atas lapangan terbang di negara berkenaan, khususnya di Riyadh.
Gangguan itu berlaku susulan serangan maut yang dikaitkan dengan pemberontak Houthi dari Yaman, termasuk serangan di lapangan terbang Riyadh pada Sabtu yang mengorbankan 12 nyawa dan mencederakan lebih 300 orang, menurut pihak berkuasa Arab Saudi.
Isu berkenaan turut menjejaskan perjalanan ibadah apabila jemaah umrah antara penumpang yang terperangkap akibat pembatalan dan kelewatan penerbangan.
Penumpang yang ingin berlepas ke Arab Saudi dinasihatkan menyemak status penerbangan terkini serta urusan tempahan semula secara terus dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum menuju ke lapangan terbang.
New Straits Times sudah menghubungi Malaysia Aviation Group (MAG) bagi mendapatkan ulasan lanjut, bagaimanapun setakat ini MAG yang juga syarikat induk kepada syarikat penerbangan nasional itu masih belum memberikan maklum balas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




