am@hmetro.com.my
Shah Alam: Pembinaan jejambat di Persiaran Mokhtar Dahari, Seksyen U10, di sini, dicadangkan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya di laluan berkenaan yang sering berdepan risiko kemalangan.
Perancangan itu sedang dikaji Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor susulan cadangan penduduk dan hasil sesi libat urus bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi sebelum ini.
Mohd Najwan berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu kajian menyeluruh berkenaan pelan jangka panjang itu dibentangkan kepada kerajaan negeri.
“Kalau pelan jangka pendek, jangka sederhana itu memang sedang dalam proses dilaksanakan.
“Cuma untuk penyelesaian jangka panjang, kalau tanya saya dan juga penduduk, kami mahukan satu jejambat yang lebih menjamin dari segi keselamatan.
“Cumanya biasalah, sesuatu projek perlu ada kajian menyeluruh termasuk bentuk muka bumi dan kesesuaian sebab itu ia mengambil sedikit masa.
“Insya-Allah dalam masa terdekat ini saya akan bawa sendiri isu ini ke peringkat mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor.
“Saya juga sudah berhubung dengan Pengarah JKR semalam dan dimaklumkan di peringkat JKR memang sedang dijalankan kajian itu,” katanya ketika ditemui media di Lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Sabtu lalu, media melaporkan pemandu lori yang merempuh 11 kereta dalam kemalangan di lampu isyarat simpang tiga Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari, di sini, didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Lelaki berusia 51 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selepas ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadapnya mendapati positif kedua-dua jenis dadah berkenaan.
Dalam kemalangan yang berlaku paada 4.20 petang itu, empat individu cedera termasuk seorang lelaki parah dan dirawat di Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, Puncak Alam.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor berkata, kejadian berkenaan sangat mendukacitakan dengan ada mangsa dilaporkan kritikal.
Katanya, kawasan itu memang ada risiko kemalangan bagaimanapun kemalangan yang berlaku baru-baru ini berpunca dari faktor sikap pemandu yang memandu di bawah pengaruh dadah.
“Betul, dari segi jalan memang ada risiko keselamatan tetapi kita tidak boleh juga menolak bahawa sikap pemandu sendiri menjadi penyumbang kepada kemalangan itu.
“Di peringkat JKR pun, mereka sedang mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




