am@hmetro.com.my
Kluang: Serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah rumah di daerah ini, kelmarin membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita yang disyaki berkhalwat.
Selain itu, pegawai dan anggota JAINJ turut menemukan seorang bayi berusia empat bulan dalam rumah terbabit.
Serbuan dilakukan pada 12.05 tengah malam selepas penguat kuasa JAINJ menerima aduan awam berhubung perbuatan pasangan terbabit.
Menurut JAINJ, sebaik tiba di rumah teres yang disewa wanita berusia lingkungan 30-an itu, penguat kuasa mendapati pintu rumah tertutup, manakala pagar dalam keadaan berkunci.
“Selepas pintu diketuk, seorang lelaki memakai baju-T dan berseluar panjang membukanya.
“Penguat kuasa kemudian memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa sebelum menjalankan pemeriksaan.
“Apabila ditanya tinggal bersama siapa, lelaki berusia lingkungan 30-an itu terdiam sebelum memaklumkan dia tinggal bersama bakal isterinya.
“Pemeriksaan lanjut menemukan seorang wanita yang memakai baju-T lengan panjang dan kain skirt labuh.
“Turut ditemukan seorang bayi yang sedang tidur di atas toto berhampiran wanita berkenaan.
“Apabila ditanya mengenai ibu dan bapa bayi itu, wanita terbabit memaklumkan bayi berkenaan ialah anak tidak sah tarafnya.
“Lelaki itu kemudian mengakui bertanggungjawab sehingga wanita berkenaan melahirkan bayi terbabit.
“Bayi itu dilahirkan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini dan soal siasat mendapati lelaki terbabit berstatus bujang, manakala kedua bekerja di Kluang,” menurut kenyataan itu.
JAINJ berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit datang ke rumah wanita berkenaan pada 10 malam dengan alasan menghantar makanan.
“Kedua ditahan mengikut Seksyen 27 dan Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 berkaitan kesalahan khalwat dan zina,” menurut kenyataan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




