Hampir Dua Pertiga Kes Kritikal Tidak Capai Sasaran Respons Ambulans 15 Minit

Hampir Dua Pertiga Kes Kritikal Tidak Capai Sasaran Respons Ambulans 15 Minit

Hampir dua pertiga atau 65.9 peratus kes kecemasan kritikal yang mengancam nyawa di seluruh negara tidak mencapai sasaran masa respons ambulans kurang 15 minit sepanjang tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pencapaian keseluruhan bagi kes keutamaan satu (Priority 1) pada 2025 hanya 34.1 peratus, jauh di bawah sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 50 peratus yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, prestasi itu masih belum memuaskan dan menjadi cabaran besar kepada kementerian dalam memastikan kecekapan perkhidmatan ambulans bagi kes kecemasan kritikal.

“Bagi 2025, pencapaian keseluruhan di peringkat nasional bagi kes keutamaan satu (Priority 1), hanya 34.1 peratus, iaitu masih di bawah sasaran 50 peratus yang kami tetapkan.

“Saya bersama Ketua Pengarah Kesihatan turut meneliti perkara ini kerana KPI berkenaan masih belum dapat dipenuhi dan ia sememangnya satu cabaran besar,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan tempoh respons ambulans ketika menerima panggilan kecemasan.

Dr Dzulkefly menjelaskan, kategori Priority 1 merangkumi kes kecemasan yang mengancam nyawa termasuk trauma kritikal dan keadaan lain yang memerlukan tindakan segera.

Katanya, analisis pencapaian perkhidmatan penjagaan prahospital dan ambulans dilaksanakan secara sistematik bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan serta meningkatkan kecekapan respons kecemasan.

Menurut beliau, KKM turut meningkatkan penyelarasan sistem MERS 999 bagi memperkukuh perkhidmatan kecemasan, selain menambah kapasiti ambulans termasuk di Jelebu, Negeri Sembilan.

Jelasnya, sebanyak lima ambulans kini beroperasi di kawasan berkenaan, manakala dua lagi dijadualkan diperoleh pada 2027.

Terdahulu, menjawab soalan asal mengenai ketidakseimbangan akses kepada doktor, pakar dan kemudahan diagnostik antara bandar dengan luar bandar, Dr Dzulkefly mengakui perkara itu merupakan cabaran sistemik yang terus ditangani KKM.

Beliau berkata, antara langkah dilaksanakan termasuk peluasan kepakaran ke klinik kesihatan dan hospital tanpa pakar di luar bandar melalui integrasi hospital kluster serta pengukuhan perkhidmatan rawatan di peringkat komuniti.


Scroll to Top