Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersama syarikat-syarikat kumpulannya menyalurkan sumbangan berjumlah RM420,000 kepada Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
LTAT dalam satu kenyataan berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding RM360,000 yang disumbangkan pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan LTAT dalam memperkukuh kebajikan serta kesejahteraan bekas anggota tentera.

Sumbangan berkenaan disampaikan Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin TUDM (Bersara), sempena Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 yang disempurnakan Penaung Kempen Tabung Pahlawan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail di Wisma Perwira, Kuala Lumpur hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kempen anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) itu bertujuan membantu veteran yang memerlukan perhatian khususnya mereka yang terlantar, uzur serta berpendapatan rendah.
Dana yang dikumpulkan turut dimanfaatkan bagi menampung keperluan harian, menyediakan peralatan perubatan dan menyalurkan bantuan kecemasan bagi meringankan beban kehidupan golongan berkenaan.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menekankan kepentingan kerjasama sektor korporat dan masyarakat dalam memastikan kebajikan veteran ATM terus terbela sebagai penghargaan terhadap pengorbanan mereka mempertahankan kedaulatan negara.
Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, tanggungjawab institusi berkenaan bukan sekadar tertumpu kepada mandat pengurusan dana, malah turut merangkumi usaha memperkukuh perlindungan sosial warga ATM.
Menurutnya, kedudukan LTAT sebagai satu-satunya institusi pengurusan dana di bawah Kementerian Pertahanan (MINDEF) mendorong pihaknya untuk memainkan peranan lebih menyeluruh dalam menjaga kesejahteraan anggota tentera, veteran dan keluarga mereka.
“Mandat LTAT adalah jelas. Namun, sebagai satu-satunya institusi pengurusan dana di bawah Kementerian Pertahanan, kami terpanggil untuk memainkan peranan yang lebih luas.
“LTAT percaya tanggungjawabnya juga merangkumi usaha memperkukuh perlindungan sosial dan kesejahteraan warga ATM, khususnya para veteran serta keluarga mereka.
“Melalui pelbagai inisiatif dan sumbangan, LTAT akan terus mencari ruang dan peluang untuk menghargai jasa serta membalas pengorbanan wira negara yang telah sekian lama berbakti kepada tanah air,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, LTAT menyeru orang ramai, institusi serta sektor korporat supaya bersama-sama menjayakan Kempen Tabung Pahlawan menerusi sumbangan mengikut kemampuan masing-masing.
Menurut LTAT, setiap sumbangan yang disalurkan tanpa mengira jumlah mampu memberi manfaat besar kepada veteran yang memerlukan bantuan, selain mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap golongan yang pernah berkhidmat kepada negara.
LTAT turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan MINDEF dan JHEV ATM dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan yang mampu memberikan manfaat berpanjangan kepada veteran serta keluarga mereka.




