Mesej ‘My PTPTN, My Responsibility’ diperkasa melalui bahasa isyarat

Mesej ‘My PTPTN, My Responsibility’ diperkasa melalui bahasa isyarat

Misi mencari peminjam yang konsisten membayar semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di sekitar Kuala Lumpur menjadi satu pendekatan untuk PTPTN menyampaikan penghargaan secara lebih dekat.

Menerusi misi itu, beberapa peminjam yang ditemui secara rawak berpeluang menerima penghargaan secara peribadi atas komitmen mereka melunaskan pinjaman pendidikan.

Menariknya, peminjam yang ditemui menggunakan pelbagai cara untuk membuat bayaran semula, termasuk melalui potongan automatik daripada akaun bank serta menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyelesaikan pinjaman.

Malah, mereka turut diberi peluang mencuba permainan ‘Wow Ring’ untuk memilih dan memenangi hadiah, sekali gus menceriakan momen penghargaan yang berlangsung secara bersemuka.

Walaupun hadiah itu bersifat simbolik sebagai tanda penghargaan atas komitmen ditunjukkan, nilai yang lebih besar terletak pada sikap konsisten dan bertanggungjawab dalam memastikan pinjaman pendidikan yang diterima terus dilunaskan.

Lebih menarik apabila mesej itu turut diterjemahkan dalam bentuk yang lebih inklusif apabila peminjam diajar melakukan isyarat tangan bagi ungkapan ‘My PTPTN, My Responsibility’.

Daripada perkataan ‘My’ hinggalah kepada ‘PTPTN’ dan ‘Responsibility’, bahasa isyarat digunakan sebagai satu lagi cara menyampaikan mesej bayaran balik pinjaman kepada masyarakat.

Pendekatan itu sekali gus membawa mesej bahawa bayaran semula PTPTN bukan sekadar soal melangsaikan hutang, tetapi tanggungjawab yang perlu dipikul selepas menerima peluang mendapatkan pendidikan.

Kerana pada akhirnya, hadiah mungkin hanya simbol penghargaan tetapi sikap bertanggungjawab terhadap pinjaman yang diterima itulah lebih bernilai.

Scroll to Top