Siasatan berhubung video tular memaparkan seorang individu beragama Islam dipercayai terlibat dalam ritual keagamaan bukan Islam kini diserahkan kepada pihak berkuasa agama untuk tindakan lanjut.
Perkembangan lanjut akan dimaklumkan kepada orang ramai
Memetik laporan daripada Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan menyatakan, pihak berkuasa agama negeri turut terlibat dalam siasatan bagi mendapatkan maklumat lengkap berhubung perkara berkenaan sebelum perkembangan lanjut dimaklumkan kepada orang ramai.
“Sekarang ini, kami menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa agama dan insya-Allah pihak berkuasa ini akan memaklumkan perkembangan (siasatan) itu,” katanya selepas menghadiri Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.
Dalam pada itu, Zulkifli memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut meneruskan pemantauan serta meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan isu berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilaporkan berkata pihaknya telah menyelaraskan tindakan sewajarnya bersama pihak berkuasa agama Islam negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Orang ramai diharap memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh sebelum sebarang kesimpulan dibuat berhubung video yang tular itu.
Sumber: Bernama




