mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: “Kami masih tertanya-tanya bila sebenarnya penerbangan pulang dan berapa lama lagi kami akan terkandas di sini.”
Itu luahan Rafhana Hidayu Mohd Yusoff, 34, yang terkandas di Arab Saudi bersama ibunya selepas penerbangan pulang ke Malaysia dibatalkan secara mengejut hari ini berikutan risiko konflik di Asia Barat.
Rafhana Hidayu berkata, dia dimaklumkan mengenai pembatalan penerbangan itu kira-kira jam 4 pagi waktu Arab Saudi, sebelum masuk waktu solat Subuh.
Menurutnya, dia berada di Arab Saudi sejak 30 September lalu dan sepatutnya pulang ke Malaysia menerusi penerbangan yang dijadualkan berlepas pada jam 12.40 tengah malam ini.
“Situasi ketika ini agak menimbulkan banyak tanda tanya kerana penerbangan dibatalkan secara mengejut.
“Pihak syarikat penerbangan menjelaskan penerbangan dibatalkan atas faktor risiko konflik di Asia Barat dan penerbangan pulang masih belum dapat dijadualkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro malam ini.
Bagaimanapun, Rafhana berkata, dia dimaklumkan oleh pihak agensi umrah pada jam 2.55 petang tadi bahawa Malaysia Airlines (MAS) akan menyediakan penginapan yang ditanggung oleh pihak penerbangan.
Katanya, setakat ini, pihak agensi umrah menjadi saluran utama yang memberikan maklumat, penerangan serta bantuan kepada mereka.
“Kesukaran yang dilalui ketika ini adalah apabila kami masih tertanya-tanya mengenai tarikh dan waktu penerbangan sebenar, selain tidak mengetahui berapa lama tempoh kami akan terkandas di sini.
“Saya berharap kerajaan Malaysia dapat membantu memudah cara urusan penerbangan supaya kami tidak terkandas terlalu lama, mengambil kira tuntutan kerja dan keluarga yang sedang menanti kepulangan kami,” katanya.
Terdahulu beberapa syarikat penerbangan membatalkan jadual penerbangan ke Arab Saudi sebagai langkah berjaga-jaga susulan serangan ke atas lapangan terbang antarabangsa Riyadh yang mengorbankan kira-kira 12 nyawa, selain mencederakan lebih 300.
Serangan terhadap lapangan terbang Arab Saudi sepanjang minggu lalu menjejaskan perjalanan udara, memaksa sekolah di Riyadh beralih kepada pembelajaran dalam talian dan mendorong beberapa kerajaan asing mengeluarkan amaran keselamatan, lapor Anadolu Ajansi.
Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh paling terjejas dengan lima serangan, diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Fahd di Dammam dengan dua serangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




