Bukit Aman nafi penuntut universiti Malaysia ditahan seludup 4kg syabu di Indonesia

Bukit Aman nafi penuntut universiti Malaysia ditahan seludup 4kg syabu di Indonesia

austin@nst.com.my

Kuala Lumpur: Polis menolak dakwaan di media sosial yang mendakwa seorang penuntut universiti tempatan ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup empat kilogram dadah jenis methamphetamine atau syabu ke negara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan mengesahkan suspek yang ditahan pihak berkuasa Indonesia itu adalah warga tempatan negara berkenaan, bukannya rakyat Malaysia seperti yang dilaporkan.

Beliau berkata, lelaki terbabit ditahan polis Tanjung Balai, Sumatera Utara pada 10 Oktober lalu selepas tiba di Terminal Feri Teluk Nibung dari Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Siasatan awal mendapati pihak berkuasa Indonesia menahan seorang lelaki warga negara itu yang tiba di Terminal Feri Teluk Nibung dari Port Dickson.

“Pemeriksaan terhadap barangan miliknya menemui lapan bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira empat kilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hussein berkata, siasatan lanjut mendedahkan dadah itu diserahkan kepada suspek oleh seorang lagi lelaki warga Indonesia di Lembah Klang.

“Suspek dipercayai dipertanggungjawabkan untuk membawa masuk bahan terlarang itu ke Indonesia melalui terminal feri Tanjung Balai.

“Polis mengambil maklum mengenai laporan media sosial yang mendakwa seorang pelajar universiti Malaysia ditangkap kerana menyeludup dadah terbabit.

“Dakwaan kononnya rakyat Malaysia ditahan dan seorang penuntut universiti ditahan kerana menyeludup empat kilogram syabu adalah tidak benar.

“Maklumat tidak tepat sebegini boleh mencetuskan kekeliruan dan keresahan kepada orang ramai,” katanya.

Sehubungan itu, Hussein menyeru pengamal media dan orang ramai supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat dengan pihak berkuasa berkaitan sebelum menerbitkan atau menyebarkan laporan, khususnya membabitkan kes pengedaran dadah antarabangsa.

“JSJN akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat perisikan serta mengenal pasti sumber bekalan dadah terbabit.

“Pihak penyiasat juga akan berusaha melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah yang beroperasi di Malaysia dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah supaya menyalurkannya menerusi hotline JSJN di talian 012-2087222.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top