Jakarta: Kawasan panas kebakaran hutan dan tanah di enam wilayah keutamaan Indonesia meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh sehari, melonjak daripada 238 kepada 542 dengan keadaan jerebu yang semakin mengancam kualiti udara serta mengganggu perjalanan udara di beberapa bahagian negara itu.
Kementerian Perhutanan memaklumkan pada Selasa bahawa sebanyak 1,085 kawasan panas dikesan di seluruh negara setakat 9 malam Isnin, berdasarkan pemantauan satelit oleh Sistem Informasi Pengesanan Awal Kebakaran Hutan dan Tanah (SiPongi).
Operasi memadamkan kebakaran terus dijalankan di seluruh Sumatera dan Kalimantan.
Kementerian itu berkata Kalimantan Tengah mencatatkan bilangan kawasan panas tertinggi dalam kalangan enam wilayah berkenaan, melonjak kepada 227 daripada 74 pada hari sebelumnya, diikuti Sumatera Selatan (147 daripada 121) dan Kalimantan Selatan (113 daripada 15).
Kalimantan Barat merekodkan 31 kawasan panas, meningkat daripada 24, manakala Jambi mencatatkan peningkatan kepada 24 daripada empat. Riau pula tidak mencatatkan sebarang kawasan panas.
Kementerian turut memberi amaran bahawa api boleh terus merebak di bawah permukaan, terutamanya di kawasan tanah gambut, walaupun nyalaan api di bahagian atas telah dipadamkan.
“Bara api boleh bertahan dan merebak di bawah permukaan walaupun api di atas tanah tidak lagi kelihatan. Justeru, terutamanya di kawasan tanah gambut di Sumatera Selatan dan Kalimantan Tengah, operasi pembasahan dan pendinginan mesti diteruskan sehingga kawasan berkenaan benar-benar selamat,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Sementara itu, jerebu mengganggu perjalanan udara di timur Indonesia pada Isnin, memaksa pembatalan tujuh penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin di Makassar, Sulawesi Selatan, yang menjejaskan 1,070 penumpang.
Menurut agensi berita Antara, pembatalan itu melibatkan penerbangan ke Sorong, Ternate, Ambon dan Mamuju, manakala jarak penglihatan yang terhad di Lapangan Terbang Sultan Baabullah di Ternate, Maluku Utara, turut memaksa lencongan penerbangan selepas jarak penglihatan merosot kepada kira-kira 1.2 kilometer.
Dalam pada itu, usaha menyelamat dan melindungi hidupan liar oleh kementerian berkenaan merangkumi 290 ekor haiwan di seluruh negara setakat 8 Okt, termasuk 96 ekor orang utan Borneo, dengan 272 ekor haiwan direkodkan di empat wilayah di Kalimantan, lapor agensi berita Antara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




