Pasir Gudang kekal catat bacaan IPU tidak sihat tertinggi

Pasir Gudang kekal catat bacaan IPU tidak sihat tertinggi

nurul_husna@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 26 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 9.16 malam ini, dengan Pasir Gudang, Johor mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 175.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), tujuh kawasan di Johor merekodkan bacaan IPU tidak sihat, termasuk Pasir Gudang, Larkin (167), Kota Tinggi (165), Pengerang (162), Batu Pahat (158), serta Kluang dan Tangkak yang masing-masing mencatatkan 151.

Di Melaka, bacaan tidak sihat direkodkan di Bukit Rambai (169), Bandaraya Melaka (168) dan Alor Gajah (156).

Negeri Sembilan turut terjejas apabila Nilai mencatatkan IPU 162, diikuti Seremban (158) dan Port Dickson (155).

Di Lembah Klang, bacaan tidak sihat direkodkan di Johan Setia, Selangor (161), Putrajaya (158), Klang (157), Batu Muda dan Cheras yang masing-masing mencatatkan 155, serta Shah Alam (152).

Di Pahang, Rompin merekodkan IPU 156, manakala Balok Baru, Kuantan mencatatkan 155.

Sri Aman di Sarawak turut merekodkan bacaan 155.

Di Terengganu pula, Kemaman dan Besut masing-masing mencatatkan IPU 152.

Secara keseluruhan, daripada 68 stesen pemantauan di seluruh negara, sebanyak 26 stesen merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat, iaitu antara 101 hingga 200.

Sebanyak 41 stesen mencatatkan bacaan sederhana, antara 51 hingga 100, manakala hanya satu stesen merekodkan kualiti udara pada tahap baik, antara sifar hingga 50.

Tiada stesen merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat atau berbahaya.

Susulan keadaan itu, orang ramai, khususnya golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit respiratori, dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah.

Orang ramai turut diingatkan supaya memakai pelitup muka ketika berada di luar bangunan bagi mengurangkan risiko komplikasi kesihatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top