Kes kokain di Jepun: PDRM hantar pasukan siasatan, sahkan dua lelaki, tiga wanita ditahan

Kes kokain di Jepun: PDRM hantar pasukan siasatan, sahkan dua lelaki, tiga wanita ditahan

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pasukan siasatan ke Jepun susulan penahanan lima rakyat Malaysia bersama lima kilogram kokain di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pasukan itu akan menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai penahanan berkenaan, termasuk rangkaian sindiket dadah Malaysia dan antarabangsa.

Katanya, pihak berkuasa Jepun juga sedang menyiasat sumber bekalan kokain itu, selain mengenal pasti anggota sindiket dan rangkaian penyeludupan dadah antarabangsa.

“JSJN dimaklumkan oleh pihak berkuasa Jepun mengenai penahanan dua lelaki dan tiga wanita warga Malaysia di Lapangan Terbang Haneda pada 10 Oktober lalu.

“Pihak Kastam Jepun menemukan lima kilogram kokain yang disembunyikan di dalam pelapik kasut dipakai kelima-lima suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengesahan itu sekali gus memperbetulkan laporan beberapa media tempatan semalam yang menyatakan empat lelaki dan seorang wanita ditahan dalam kes berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top