Manila: Seorang wanita berusia 52 tahun di Filipina mengalami sakit kepala dan halusinasi visual selama kira-kira empat bulan sebelum doktor mendapati larva cacing pita menyerang otaknya, lapor Yahoo! Health.
Kes itu didokumentasikan dalam jurnal perubatan New England Journal of Medicine, sekali gus mengetengahkan komplikasi jangkitan parasit yang boleh merebak melalui makanan, air tercemar atau tangan yang tidak dibasuh.
Wanita berkenaan turut mengalami kesukaran berkomunikasi, malah ada kalanya bercakap dengan lancar tetapi percakapannya tidak masuk akal.
Menurut pakar neurologi, Bonifacio Pedregosa II, pesakit wanita itu menggambarkan dirinya melihat haiwan dan manusia yang sebenarnya tidak wujud ketika episod berkenaan berlaku.
Imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) menunjukkan beberapa sista (benjolan mengandungi cecair) yang mengandungi larva Taenia solium, sejenis cacing pita yang lazimnya dikenali sebagai cacing pita khinzir.
Keadaan yang dikenali sebagai neurocysticercosis itu berlaku apabila seseorang menelan telur cacing pita mikroskopik yang menetas dan melepaskan larva yang boleh bergerak melalui aliran darah.
Dalam pada itu, doktor pada mulanya mempertimbangkan kemungkinan wanita itu mengalami masalah psikiatri, namun kesukaran berbahasa yang dialaminya mendorong pemeriksaan neurologi lanjut.
Menurut media sama, selepas wanita itu menerima rawatan menggunakan ubat antiparasit dan ubat untuk menangani sawan yang disyaki dialaminya, gejalanya dilaporkan pulih.
Pengimejan susulan turut menunjukkan saiz sista di dalam otaknya mengecil.
Berbeza dengan jangkitan cacing pita dalam usus yang boleh berlaku akibat memakan daging khinzir yang kurang masak, neurocysticercosis berlaku apabila seseorang menelan telur cacing pita akibat pencemaran najis.
Keadaan itu bermakna individu yang tidak pernah memakan daging khinzir juga boleh dijangkiti.
Antara langkah pencegahan yang disarankan adalah membasuh tangan menggunakan sabun selepas menggunakan tandas, menyediakan makanan secara selamat, meminum air yang selamat serta membasuh hasil tanaman makanan dengan teliti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




