KUALA LUMPUR: Institusi perbankan tidak boleh lepas tangan apabila wang simpanan pelanggan didakwa lesap, sebaliknya perlu bertanggungjawab dan segera memulangkan wang berkenaan sekiranya siasatan mendapati kehilangan itu berpunca daripada kecuaian atau kelemahan pihak bank.
Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Negeri Pahang, Daniel Khoo Jian Woon berkata, pelanggan menyimpan wang di bank kerana percaya institusi kewangan itu mampu melindungi simpanan mereka.
Katanya, bank turut memperoleh manfaat daripada wang yang disimpan pelanggan, justeru tanggungjawab menjaga keselamatan simpanan itu tidak boleh dipandang ringan.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Apabila kita menyimpan wang di bank, kita percaya wang itu selamat. Kalau wang pelanggan boleh hilang sehingga jumlah yang begitu besar, bagaimana orang ramai hendak terus yakin terhadap sistem perbankan?
“Bank perlu bertanggungjawab. Jika siasatan mendapati kehilangan itu berlaku akibat kecuaian atau kelemahan sistem keselamatan bank, wang pelanggan perlu dipulangkan dengan segera,” katanya.
Beliau mengulas tindakan seorang kerabat diraja Terengganu, Tengku Ismail Tengku Ibrahim, yang memfailkan saman sivil terhadap dua institusi perbankan bagi menuntut semula RM1,985,065 yang didakwa hilang daripada akaun simpanannya.
Dalam kes itu, plaintif mendakwa tidak pernah memberikan kebenaran untuk mengaktifkan kemudahan perbankan dalam talian atau meluluskan transaksi yang dipertikaikan.
Daniel berkata, bank juga perlu memperkukuh prosedur pengesahan bagi transaksi luar biasa, terutama pemindahan wang dalam jumlah besar ke akaun pihak ketiga.
Ujarnya, bank wajar menghubungi pelanggan untuk mengesahkan transaksi yang mencurigakan serta menyimpan rekod panggilan atau bukti pengesahan bagi membolehkan semakan dibuat sekiranya berlaku pertikaian.
“Apabila ada transaksi daripada akaun pelanggan ke akaun pihak ketiga, bank sepatutnya menghubungi pelanggan untuk bertanya sama ada mereka benar-benar melakukan transaksi berkenaan.
“Bank juga perlu mempunyai rekod atau rakaman panggilan sebagai bukti bahawa pengesahan sudah dibuat. Ini antara langkah untuk menjaga keselamatan akaun pelanggan,”katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurutnya, jika pelanggan menafikan melakukan transaksi tersebut, bank perlu mengambil langkah sewajarnya untuk menangguhkan atau menyekat transaksi berkenaan sementara pengesahan lanjut dilakukan, mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan.
Daniel berkata, kerajaan juga perlu memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi mengenal pasti bagaimana transaksi berkenaan boleh berlaku, termasuk menyiasat kemungkinan wujudnya penglibatan orang dalam sekiranya terdapat bukti yang menyokong dakwaan itu.
“Kita tidak boleh menolak sebarang kemungkinan tanpa siasatan. Jika ada pihak yang menyalahgunakan kedudukan atau membantu penjenayah mengeluarkan wang pelanggan, mereka mesti dikesan dan dibawa ke muka pengadilan,’ katanya.
Tegasnya, kerajaan juga perlu meneliti undang-undang sedia ada dan mempertimbangkan hukuman lebih berat terhadap penjenayah yang terbabit dalam kegiatan penipuan kewangan, terutama kes yang menyebabkan mangsa kehilangan keseluruhan simpanan mereka.
Katanya, hukuman berat termasuk penjara seumur hidup wajar dipertimbangkan bagi kesalahan yang benar-benar serius, tertakluk kepada penelitian undang-undang dan tahap kesalahan yang dilakukan.
Pada masa sama, Daniel mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap sindiket penipuan, tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada pihak tidak dikenali dan segera menghubungi bank serta polis sekiranya mengesan transaksi mencurigakan.
Beliau berkata, usaha membanteras penipuan kewangan memerlukan tindakan tegas pihak berkuasa, sistem keselamatan perbankan yang kukuh dan akauntabiliti institusi kewangan bagi memastikan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan wang simpanan mereka terus terpelihara.-UTUSAN




