Kadar pengangguran rendah tidak beri gambaran menyeluruh pasaran buruh – Akmal Nasrullah

Kadar pengangguran rendah tidak beri gambaran menyeluruh pasaran buruh – Akmal Nasrullah

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Ekonomi mengakui kadar pengangguran yang kekal rendah iaitu 3.0 peratus, tidak menggambarkan sepenuhnya landskap pasaran buruh negara.

Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ini memandangkan landskap pasaran buruh perlu dilihat bersekali dengan indikator lain, seperti komposisi pekerjaan mahir dan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran.

Beliau berkata, komposisi pekerja mahir mencatatkan 30.1 peratus tahun lalu, manakala kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran adalah 35.6 peratus.

Angka itu, katanya, menunjukkan berlaku isu struktur dalam pasaran buruh serta ketidaksepadanan pekerjaan, termasuk dalam kalangan graduan bekerja di bawah kelayakan dan menerima gaji rendah.

“Bagi menangani ketidaksepadanan pekerjaan, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) memberi tumpuan kepada industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), terutama dipacu inovasi, pendigitalan, penggunaan teknologi termaju dan aktiviti berintensiti pengetahuan.

“Transformasi struktur ini mampu menawarkan lebih banyak pekerjaan mahir dengan gaji tinggi yang akan menyumbang kepada sasaran guna tenaga penuh berkaitan kemahiran kepada 30 peratus.

“Ia juga menyumbang kepada gaji penengah bulanan RM3,500 dan komposisi tenaga kerja mahir kepada 35 peratus, pada 2030,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di portal Parlimen, malam ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai peratusan kadar pengangguran 3.0 sahaja, tidak menggambarkan keadaan pasaran pekerjaan sepenuhnya.

Akmal Nasrullah berkata, menyedari cabaran dalam pasaran buruh, kerajaan giat melakukan reformasi ke atas pasaran buruh seperti digariskan dalam RMK13.

Katanya, inisiatif dilaksanakan, termasuk mempercepat penyelarasan gaji bagi mengurangkan jurang gaji dan meningkatkan bahagian pampasan pekerja (CE) serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, bermatlamat memastikan rakyat mendapat pekerjaan dengan gaji bermaruah.

Beliau berkata, kerajaan juga terus berusaha meningkatkan gaji pekerja melalui pelaksanaan Dasar Gaji Progresif, Perintah Gaji Minimum serta gaji kehidupan wajar bagi menangani kos sara hidup.

“Kerajaan juga komited menangani cabaran kos sara hidup melalui pendekatan menyeluruh bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Antara inisiatif utama termasuk Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah dengan peruntukan melebihi RM15 bilion, bantuan kebajikan kepada kumpulan sasar berjumlah RM3.1 bilion serta pelaksanaan subsidi bersasar bagi bahan api dan utiliti.

“Kerajaan turut melaksanakan langkah penstabilan harga barangan dan perkhidmatan asas melalui Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara, termasuk Program Penyeragaman Harga Barang bernilai RM67 juta dan Payung RAHMAH sebanyak RM600 juta.

“Subsidi bahan api berkuota BUDI95 dan BUDI Diesel turut diteruskan dengan anggaran kos sekitar RM4 bilion sebulan,” kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top