mukhriz.husin@bh.com.my
Bangi: Kerajaan sedang meneliti cadangan menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengkaji keperluan menggubal Akta Halal yang lebih menyeluruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada tindakan kerajaan untuk memperkukuh industri halal negara.
“(Cadangan penubuhan itu) sememangnya dalam tindakan kami kerana kita dalam proses untuk memperkasakan lagi industri halal negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Penerbitan Islam Tahun 2026 dan Pelancaran Majlis Penerbitan Buku Agama (MAPBA) di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), di sini, hari ini.
Zulkifli mengulas cadangan pakar perundangan dan perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu A Aziz, supaya sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan bagi mengkaji keperluan, cabaran serta laluan perundangan untuk mewujudkan akta berkenaan.
Cadangan itu turut memerlukan penelitian terhadap pembahagian bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kerana hal ehwal Islam berada di bawah bidang kuasa negeri.
Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil tindakan sitaan terhadap sebuah premis mi tarik yang tular di Taman Sutera Kajang selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Pemeriksaan turut menemukan penggunaan representasi berkaitan Islam pada premis itu, selain beberapa perkara lain yang memerlukan siasatan lanjut mengikut undang-undang berkaitan perakuan dan penandaan halal.
Isu berkenaan menghidupkan semula perbahasan mengenai keperluan mewujudkan sebuah akta khusus bagi menyelaras aspek pensijilan, pemantauan dan penguatkuasaan halal di seluruh negara.
Kawal selia halal ketika ini dilaksanakan menerusi Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, selain enakmen negeri berkaitan hal ehwal Islam.
Peruntukan sedia ada memberikan kuasa kepada JAKIM serta Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri sebagai pihak berkuasa berwibawa dalam urusan pensijilan halal.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 29 Januari lalu, kerajaan berpandangan undang-undang sedia ada masih relevan dan memenuhi keperluan semasa.
Bagaimanapun, kerajaan mengakui kewujudan pelbagai peruntukan undang-undang menimbulkan cabaran dari segi penyelarasan bidang kuasa dan keberkesanan penguatkuasaan antara pihak berkuasa.
Kerajaan turut menyatakan kesediaan mengkaji perundangan sedia ada, termasuk kemungkinan mewujudkan akta khusus halal, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta kedudukan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




