Kesilapan taktikal lebur impian Azizulhasni

Kesilapan taktikal lebur impian Azizulhasni

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kesilapan taktikal menyebabkan ikon berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terkandas di suku akhir, sekali gus gagal mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia di Shanghai, hari ini.

Pengarah teknikal pasukan kebangsaan yang bakal meninggalkan tugasnya, John Beasley berkata, Azizulhasni memiliki kepantasan dan kuasa kayuhan untuk melangkah lebih jauh, namun terpaksa berpuas hati selepas menamatkan saingan di tempat keenam dalam saringan ketiga suku akhir di Velodrom Shanghai.

“Cuma kesilapan taktikal, perkara seperti itu berlaku dari semasa ke semasa. Dia melalui tahun yang hebat dan kami mahu acara keirin di Kejohanan Dunia kali ini, tetapi ia tidak menjadi.

“Sayang sekali kerana kelajuan dan kuasa kayuhan itu semuanya ada,” kata Beasley.

Azizulhasni sebelum ini berharap dapat menutup musim cemerlang dengan satu lagi pingat di Kejohanan Dunia selepas memenangi dua perlumbaan Piala Dunia, gelaran keseluruhan Piala Dunia serta pingat emas di Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini.

Beasley berkata pelumba kelahiran Terengganu itu kecewa kerana terlepas peluang berkenaan, namun masih mempunyai satu lagi acara untuk diberi tumpuan.

“Tidak mengapa, masih ada satu lagi perlumbaan dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya.

Azizulhasni akan beraksi dalam acara pecut individu lelaki, Sabtu ini, dengan Beasley menyasarkan kedudukan lapan terbaik bagi membantu kempen kelayakan Olimpik pelumba berkenaan.

“Ia mungkin agak sukar, tetapi anda tidak boleh jangka mengenai Azizul. Dia sudah beberapa kali menaiki podium.

“Sasaran saya adalah kelompok lapan terbaik kerana keputusan itu akan benar-benar memulakan kutipan mata kelayakan Olimpik,” kata Beasley.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top