BAITUMUQADDIS: Ahli politik pembangkang Israel, Gadi Eisenkot, pencabar utama Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dalam pilihan raya akan datang, berikrar pada Khamis untuk menewaskan Hamas di Gaza sekiranya beliau menjadi perdana menteri selepas pengundian pada 27 Oktober.
“Hari ini saya memberikan komitmen secara terbuka: sebaik sahaja saya memasuki Pejabat Perdana Menteri, dalam tempoh 18 bulan Hamas tidak lagi memerintah Semenanjung Gaza,” kata pemimpin parti Yashar berhaluan kanan tengah pada sidang media berhampiran wilayah Palestin yang musnah akibat perang itu.
Beliau berkata, matlamat itu akan dicapai sama ada dengan melaksanakan pelan gencatan senjata Gaza yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang memperuntukkan pelucutan senjata Hamas secara berperingkat dan peralihan kuasa, atau melalui operasi kreatif oleh tentera Israel bertujuan memusnahkan sayap ketenteraan gerakan Palestin itu.
Memuatkan artikel berkaitan…
Ikrar kempen itu antara janji paling tegas setakat ini daripada Eisenkot, 66, bekas ketua tentera Israel.
Pilihan raya yang sengit itu merupakan pilihan raya pertama sejak serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan lebih 1,200 orang.
Sebagai tindak balas, Israel melancarkan serangan besar-besaran di Gaza yang setakat ini mengorbankan lebih 74,300 orang, menurut Kementerian Kesihatan wilayah itu yang beroperasi di bawah Hamas dan angka korbannya secara umumnya dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Eisenkot pada Khamis menuduh Netanyahu melakukan kegagalan strategik di Gaza dengan berkata bahawa selepas tiga tahun perang, Hamas masih berkuasa., mempunyai senjata, terus mempersenjatai diri dan aktif dari segi ketenteraan.
Beliau turut mengulangi ikrar untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan negara bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap sebarang kelemahan keselamatan sebelum serangan 7 Oktober, langkah yang setakat ini ditentang kerajaan.
“Ada cara untuk menghalang bencana seterusnya,” katanya.
Seperti ahli politik pembangkang lain, Eisenkot kerap menuduh Netanyahu memikul tanggungjawab peribadi atas serangan 7 Oktober, khususnya kerana mengabaikan amaran daripada perkhidmatan keselamatan Israel dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), menurut laporan media.
Netanyahu menolak sekeras-kerasnya tuduhan itu dan menegaskan bahawa pegawai keselamatan tidak mengejutkannya pada pagi serangan berkenaan.
Tinjauan pendapat semasa menunjukkan bahawa blok Netanyahu mahupun blok pimpinan Eisenkot tidak berada pada kedudukan untuk memperoleh 61 kerusi diperlukan bagi menguasai parlimen yang mempunyai 120 kerusi itu dan membentuk kerajaan campuran. – AFP




