Kuching City masih buntu cari kemenangan dalam ACL II

Kuching City masih buntu cari kemenangan dalam ACL II

sukan@hmetro.com.my

Kuching: Kuching City FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas terikat 1-1 menentang wakil Hong Kong, Kitchee SC, dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) di Stadium Taha Ariffin, malam ini.

Skuad The Cats memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila mendahului seawal minit kedua menerusi jaringan sendiri selepas penjaga gol Kitchee, Pong Cheuk Hei Bear, gagal mengawal bola hantaran ke belakang daripada rakan sepasukannya.

Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Kitchee menyamakan kedudukan pada minit ke-14 menerusi Everton Camargo yang melepaskan rembatan kaki kiri untuk menewaskan penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.

Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, Kuching City meningkatkan tekanan dan hampir kembali mendahului menerusi percubaan Ajdin Mugajic pada minit ke-26, namun percubaannya berjaya ditepis keluar oleh Pong.

Tiga minit kemudian, Ajdin sekali lagi berpeluang mencipta jaringan selepas menerima umpanan Jerome Etame, tetapi gagal menyudahkan peluang berkenaan.

Penyerang itu turut menyangka berjaya meletakkan Kuching City di hadapan pada minit ke-32, namun jaringannya dibatalkan kerana ofsaid selepas menerima hantaran Petrus Shitembi.

Kuching City dilihat lebih menguasai permainan pada babak pertama namun gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang untuk menambah jaringan, manakala Kitchee turut mengancam pintu gol tuan rumah tetapi benteng pertahanan The Cats kekal bertahan.

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan saling mengatur serangan dalam perlawanan yang lebih seimbang.

Kuching City hampir memperoleh gol kedua pada minit ke-68 menerusi tandukan Ajdin, namun bola sekadar tersasar daripada sasaran selepas menerima hantaran Shitembi.

Dylan Wenzel-Halls turut menguji penjaga gol Kitchee menerusi percubaannya, tetapi berjaya ditumbuk keluar.

The Cats terus memburu gol kemenangan sehingga wisel penamat, namun ketumpulan penyudah menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berkongsi mata selepas keputusan kekal 1-1.

Keputusan itu menyaksikan Kuching City dan Kitchee masing-masing memperoleh satu mata dalam saingan Kumpulan H ACL II.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top