Guru tuisyen ditahan lakukan amang seksual terhadap lima pelajar lelaki

Guru tuisyen ditahan lakukan amang seksual terhadap lima pelajar lelaki

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Guru tuisyen ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap lima pelajar lelaki dalam kejadian di ibu negara, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, perbuatan terkutuk itu didakwa dilakukan di rumah suspek yang turut dijadikan sebagai pusat tuisyen.

Menurutnya, polis menerima lima laporan berasingan berhubung kejadian itu yang dibuat di Balai Polis Bukit Jalil, membabitkan mangsa remaja dan kanak-kanak lelaki.

“Laporan polis yang pertama dibuat pada 6 Oktober lalu, diikuti laporan kedua pada 10 Oktober, manakala tiga lagi laporan diterima pada 11 Oktober,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan berkenaan, Fadil berkata, polis melakukan siasatan terperinci dan merekodkan keterangan daripada pelbagai pihak bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Siasatan lanjut sudah dijalankan dan polis sudah mendapatkan keterangan daripada ahli keluarga dan mangsa.

“Semua pihak iaitu ahli keluarga mangsa, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam siasatan kes ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mengesahkan suspek utama kes sudah ditahan dan permohonan reman diluluskan bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.

“Suspek ditangkap dan kini berada dalam tahanan reman.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792),” katanya.

Katanya, siasatan berhubung kes berkenaan masih giat dijalankan daripada pelbagai sudut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top