PMKS jualan bawah RM50 juta dikecualikan kenaikan gaji minimum, beri ruang penyesuaian

PMKS jualan bawah RM50 juta dikecualikan kenaikan gaji minimum, beri ruang penyesuaian

PUTRAJAYA: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai Jun 2027.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pengecualian itu diberikan bagi memberi ruang penyesuaian kepada perusahaan berkaitan, susulan pengumuman kenaikan gaji minimum dalam Belanjawan Madani 2027.

“Keseluruhan inisiatif ini memperlihatkan satu hala tuju yang jelas di bawah kepimpinan Perdana Menteri iaitu membina tenaga kerja Malaysia yang lebih berkemahiran, berpendapatan tinggi dan dilindungi, seiring dengan aspirasi negara menuju ekonomi bernilai tinggi,” katanya pada sesi Taklimat Garis Panduan Gaji Pokok Permulaan Berdasarkan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sedang memperincikan mekanisme pemantauan pembayaran gaji pekerja menerusi modul e-wages bagi memudahkan dan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang perburuhan.

Jelasnya, mekanisme itu bertujuan memastikan pembayaran gaji dibuat mengikut kaedah dan tempoh yang ditetapkan di bawah Akta Kerja 1955, selain berdasarkan kadar yang dipersetujui dalam kontrak perkhidmatan termasuk elaun, insentif dan bonus.

“Pelaksanaan e-wages juga bertujuan mengurangkan isu gaji tidak dibayar, pembayaran lewat serta pembayaran pada kadar yang tidak tepat atau di bawah kadar gaji minimum.

“Mekanisme e-wages ini akan dicadangkan untuk merangkumi semua pekerja, termasuk pekerja bukan warganegara,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top