sukan@hmetro.com.my
Sungai Petani: Bukan sekadar memburu kemenangan di gelanggang, sebaliknya Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 menjadi pentas buat pemain muda membuktikan kemampuan, mengasah bakat dan memasang impian untuk pergi lebih jauh dalam sukan sepak takraw.
Kehangatan kejohanan itu jelas dirasai di Arena of Sports, di sini, apabila sorakan ibu bapa, jurulatih dan rakan-rakan mengiringi aksi peserta bawah 16 tahun yang berentap dalam saingan zon utara, hari ini.
Kejohanan anjuran bersama Harian Metro itu menjadi pembuka tirai bagi siri Liga Takraw Nasional Mekdi 2026, sekali gus membuka peluang kepada bakat muda untuk menyerlah dalam sukan tradisi yang terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Pengarah Kanan Komunikasi Korporat McDonald’s, Shamsidar Yahya berkata, pihaknya berbangga dengan sambutan diberikan peserta dan pengunjung pada penganjuran sulung kejohanan berkenaan.
Menurutnya, suasana meriah di gelanggang dengan kehadiran keluarga, jurulatih dan pelajar yang memberikan sokongan membuktikan kejohanan itu mampu menjadi platform menghimpunkan komuniti menerusi sukan.
“Kami sangat bangga melihat sambutan bagi zon utara ini, apatah lagi apabila ramai ibu bapa dan keluarga hadir untuk memberikan sokongan kepada anak masing-masing.
“Kami mahu kejohanan ini menjadi platform untuk menyemai minat dan mencungkil bakat sepak takraw dalam kalangan anak muda Malaysia, khususnya pemain bawah 16 tahun,” katanya, ketika ditemui, di sini.
Shamsidar berkata, penganjuran bersama Harian Metro itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada pertandingan, malah menawarkan pengalaman menarik kepada pengunjung menerusi pelbagai aktiviti sampingan.
Katanya, pengunjung yang hadir turut berpeluang menyertai permainan dan cabutan bertuah yang disediakan sepanjang kejohanan berlangsung.
“Kami mengalu-alukan orang ramai untuk datang beramai-ramai ke Arena of Sports bagi menyaksikan aksi pemain muda, selain menikmati aktiviti yang disediakan untuk seisi keluarga,” katanya.
Beliau berkata, kejohanan itu membabitkan penyertaan peserta dari beberapa negeri, termasuk Kedah, Perak, Terengganu dan negeri di selatan tanah air.
Katanya, selepas Zon Utara, pihak penganjur turut membuka penyertaan bagi Zon Timur, khususnya di Pantai Timur, menerusi laman web Harian Metro.
“Kami berharap sambutan menggalakkan seperti ini dapat diteruskan di zon lain dan lebih ramai pemain muda tampil mengambil peluang menyertai kejohanan berkenaan.
“Kami juga berharap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membantu melahirkan lebih ramai pemain berbakat serta menyemarakkan sukan sepak takraw di negara ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




