London: Pengendali Manchester United, Michael Carrick menegaskan kelab itu sudah melupakan insiden membabitkan Lisandro Martinez yang mengkritik pengurusan tertinggi pasukan selepas kekalahan 0-2 kepada Atletico Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara, Selasa lalu.
Carrick berkata, isu berkenaan tidak menjejaskan keharmonian pasukan, malah pemain kembali menjalani latihan dalam suasana positif menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang seteru tradisi, Leeds United, Ahad ini.
Martinez mencetuskan kontroversi selepas meluahkan kekecewaan terhadap pengurusan kelab susulan kekalahan kepada Atletico, dengan mendakwa Carrick tidak dibekalkan skuad yang cukup ampuh.
Pemain pertahanan Argentina itu turut menyasarkan pengarah teknikal kelab, Jason Wilcox, apabila berkata beliau menjangkakan pelaburan lebih besar pada jendela perpindahan musim panas selepas United menamatkan saingan liga musim lalu di tempat ketiga.
Difahamkan, pemain berusia 28 tahun itu dikenakan denda berikutan kenyataannya, namun Carrick mengesahkan Martinez tetap akan disenaraikan dalam skuad bagi perlawanan menentang Leeds.
“Kami sudah melupakan perkara itu. Ia salah satu insiden yang berlaku. Saya rasa Licha (Martinez) sudah mengakui keadaan itu dan sebagai satu kumpulan, kami sudah bergerak ke hadapan.
“Ia benar-benar bukan satu isu besar buat kami sebagai satu pasukan. Pemain berlatih dengan sangat baik dan pagi ini, suasana dalam skuad juga cukup positif,” katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.
Martinez sebelum itu memohon maaf menerusi satu kenyataan di Instagram selepas mengadakan perbincangan positif bersama barisan kepimpinan kelab dan Carrick.
Beliau mengakui kekecewaan selepas kekalahan itu mendorongnya meluahkan perasaan pada waktu dan tempat yang tidak sesuai.
Bekas kapten United, Roy Keane sebelum ini menyifatkan situasi di kelab itu sebagai seperti sebuah sarkas, namun Carrick percaya permohonan maaf Martinez sudah memadai untuk menamatkan isu berkenaan.
“Saya rasa dia sudah mengeluarkan kenyataannya dan menyedari melakukan kesilapan. Bagi saya, itu sudah memadai untuk kita semua bergerak ke hadapan,” katanya.
Carrick turut menegaskan bahawa semangat dan emosi pemain penting dalam bola sepak, tetapi perlu disalurkan dengan cara yang betul demi kepentingan pasukan.
“Kami mahukan semangat, emosi dan keberanian daripada pemain, selain mahu mereka benar-benar mengambil berat tentang pasukan.
“Namun, ada cara untuk melakukannya dan perkara itu sudah diakui. Kami perlu mengekalkan intensiti, kesepakatan, semangat berpasukan dan kesungguhan itu,” katanya.
United kini berdepan permulaan terburuk dalam saingan liga sejak 40 tahun lalu apabila hanya mencatat satu kemenangan daripada enam perlawanan, sekali gus menghuni tangga ke-13 EPL.
Bagaimanapun, Carrick enggan menjadikan tekanan terhadap dirinya sebagai isu utama, sebaliknya menegaskan kejayaan kelab perlu mengatasi kepentingan mana-mana individu.
“Saya bukan seorang sahaja yang memerlukan keputusan positif. Kita semua memerlukannya. Ini bukan mengenai saya.
“Manchester United jauh lebih besar daripada mana-mana individu, termasuk saya, pemain atau sesiapa sahaja yang bekerja di kelab ini. Ia sentiasa begitu dan perkara ini bukan mengenai saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




