'Saya dah nasihat jangan terjebak dadah, boleh musnah keluarga…' – Abang ipar kesal tragedi ragut nyawa Norhazwani

'Saya dah nasihat jangan terjebak dadah, boleh musnah keluarga…' – Abang ipar kesal tragedi ragut nyawa Norhazwani

news@nst.com.my

Tumpat: Tragedi yang meragut nyawa Norhazwani Ibrahim, 35, kelmarin, dipercayai boleh dielakkan sekiranya masalah rumah tangga mereka ditangani lebih awal.

Abang ipar mangsa, Kamarulzaman Ibrahim, 59, mendakwa dia pernah menasihati pasangan itu supaya mengelakkan pergaduhan bulan lalu.

Bekas pensyarah itu berkata, dia menasihati pasangan itu supaya menyelesaikan perselisihan faham secara baik, selain mengingatkan suspek supaya tidak terbabit dalam kegiatan yang boleh memusnahkan keluarganya.

“Saya juga memberitahunya (suspek) dadah menjadi punca kepada banyak masalah, ketagihan juga boleh mendorong seseorang melakukan jenayah seperti mencuri, sekali gus memusnahkan kehidupan individu dan masa depan sesebuah keluarga.

“Saya sudah mengingatkannya supaya tidak kembali terjebak dengan dadah kerana ia membawa kesan buruk kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Norhazwani maut dipercayai ditikam suaminya di kediaman mereka di kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nilai, Negeri Sembilan, pada Khamis malam.

Suspek yang juga berusia 30-an ditahan selepas menyerah diri di balai polis.

Mangsa dipercayai ditikam dengan sebilah pisau dan suspek yang direman tujuh hari bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kamarulzaman berkata, dia amat terkejut dan berdukacita atas kematian adik iparnya.

Menurutnya, dia menerima panggilan daripada isteri yang memaklumkan kejadian itu ketika dalam perjalanan ke Machang untuk mengambil anaknya.

“Sebaik mengetahui kejadian itu, saya berpatah balik ke Tumpat, memang tak sangka perkara ini boleh berlaku,” katanya.

Kamarulzaman berkata, adik perempuan mangsa akan mengambil tanggungjawab menjaga anak mangsa yang masing-masing berusia lima dan enam tahun.

Katanya, keluarga akan berusaha memastikan kedua-dua anak itu mendapat penjagaan dan sokongan sewajarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top