33 maut bumbung sekolah runtuh di Pakistan

33 maut bumbung sekolah runtuh di Pakistan

PESHAWAR – Seramai 33 orang termasuk 32 murid, kebanyakannya berusia antara empat hingga 14 tahun, maut selepas bumbung sebuah sekolah di Peshawar, barat laut Pakistan, runtuh pada Khamis, dipercayai akibat struktur bangunan yang uzur.

Dalam kejadian itu, 20 lagi murid dibawa ke hospital, manakala penduduk dan pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan kanak-kanak yang terperangkap di bawah runtuhan.

Asim Khan dari Hospital Lady Reading di Peshawar berkata, jumlah kematian meningkat kepada 33 orang menjelang petang Khamis, termasuk seorang guru wanita.

Beliau berkata, kebanyakan kanak-kanak yang dibawa ke hospital sudah dibenarkan pulang, namun tiga murid yang mengalami kecederaan di kepala masih dirawat.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Sohail memberitahu AFP bahawa keadaan menjadi panik selepas anak saudaranya yang terselamat daripada kejadian itu pulang ke rumah dan memaklumkan bangunan sekolah berkenaan runtuh.

“Semua orang mula menjerit dalam keadaan panik,” katanya.

Menurut Sohail, sebaik tiba di lokasi kejadian, beliau melihat kira-kira 10 hingga 15 kanak-kanak terperangkap di bawah runtuhan dengan timbunan puing hingga ke paras leher.

“Kami segera mengeluarkan mereka,” katanya.

Sementara itu, jurucakap perkhidmatan penyelamat kecemasan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Bilal Ahmad Faizi berkata, murid-murid dihempap dan terperangkap selepas bumbung bangunan sekolah itu runtuh.

“Ketika pasukan tindak balas kecemasan Rescue 1122 tiba di lokasi, mereka mendapati satu bumbung runtuh menimpa bumbung lain, menyebabkan bilik darjah di bawahnya musnah dan murid-murid terperangkap di dalam,” katanya.

Scroll to Top