NEW DELHI – Seorang lelaki di Gujarat, India disyaki membakar anak lelakinya yang berusia dua tahun setengah menggunakan petrol kerana menganggap tanggungjawab membesarkan kanak-kanak itu sebagai beban.
Menurut laporan The Times of India pada Khamis, suspek, Ashok Raval didakwa mencurahkan petrol ke badan anaknya, Navghan sebelum membakarnya dalam kejadian di Suigam, daerah Vav-Tharad pada 13 Oktober lalu.
Siasatan awal mendapati suspek tinggal berasingan dengan isterinya sejak beberapa waktu lalu, menyebabkan dia terpaksa menjaga anak mereka seorang diri.
Keadaan itu didakwa menyebabkan suspek semakin tertekan kerana tidak mempunyai individu lain untuk membantu menjaga mangsa.
Dalam kejadian antara jam 1 hingga 2 petang, suspek dipercayai membakar kanak-kanak tersebut sebelum membawanya ke hospital.
Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dialami.
Suspek kemudian didakwa mengebumikan mayat anaknya di tanah perkuburan komuniti dengan bantuan ahli keluarga bagi menyembunyikan punca sebenar kematian.
Kejadian itu terbongkar selepas bapa saudara suspek, Babu Raval mengetahui perkara berkenaan dan membuat laporan polis.
Susulan laporan tersebut, pihak berkuasa menggali semula kubur mangsa bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
Polis Suigam kini menyiasat suspek atas kesalahan membunuh dan menghilangkan bahan bukti. – Agensi



