Empat pasukan sah ke Grand Final, tempah slot separuh akhir Zon Utara

Empat pasukan sah ke Grand Final, tempah slot separuh akhir Zon Utara

sukan@hmetro.com.my

Sungai Petani: SSTMI B, Highlander A, ALFA Cafe MIBJ D dan Perak JR mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Utara selepas melepasi halangan suku akhir, sekali gus menempah tiket automatik ke Grand Final, pada perlawanan yang berlangsung di Arena of Sport, di sini, sebentar tadi.

Kejayaan itu menyaksikan keempat-empat pasukan berkenaan bakal beraksi di Grand Final yang dijadualkan berlangsung pada 28 dan 29 November ini di Akademi Sepak Takraw Malaysia.

SSTMI B paling awal menempah slot apabila menewaskan AJST 15-13, 15-9 untuk memastikan tempat dalam kelompok empat pasukan terbaik, sekali gus meneruskan cabaran mereka dalam kejohanan itu.

Highlander A pula menampilkan aksi meyakinkan apabila menundukkan SSTMI A 15-11, 15-10 bagi mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.

Dalam satu lagi perlawanan, ALFA Cafe MIBJ D terpaksa bekerja keras sebelum menyingkirkan Highlander Z menerusi pertarungan tiga set 15-13, 14-17, 15-5.

Perak JR turut melengkapkan senarai empat pasukan terbaik apabila menewaskan Young Turtles B menerusi keputusan 15-13, 15-8, sekali gus memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik mereka.

Dengan kemaraan itu, SSTMI B, Highlander A, ALFA Cafe MIBJ D dan Perak JR bukan sahaja meneruskan perjuangan memburu kejuaraan Zon Utara, malah sudah memperoleh slot ke Grand Final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top