Kerajaan sedang meneliti pindaan undang-undang bagi memperberat hukuman terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan mencuri kabel, khususnya membabitkan sistem pengangkutan rel negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu dilihat perlu berikutan kejadian kecurian kabel yang bukan sahaja menjejaskan kelancaran perkhidmatan, malah boleh mengancam keselamatan pengguna.
Menurutnya, Kementerian Pengangkutan kini bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memperincikan cadangan pindaan tersebut, termasuk meningkatkan hukuman penjara dan denda.
“Memang dalam perancangan. Kita sedang merangka pindaan undang-undang dan bekerjasama dengan pihak KDN juga untuk meminda undang-undang bagi memperketat hukuman.
“Dari segi hukuman penjara, butirannya belum kita muktamadkan. Sekarang ini masih dalam perbincangan dasar untuk kita meningkatkan hukuman penjara dan denda,” katanya selepas melancarkan Bas Elektrik Rapid Penang, hari ini.
![]()
Kredit Foto: UTUSAN/DANIAL SAAD
Mengulas lanjut, Loke menegaskan bahawa kegiatan mencuri kabel bukan kesalahan kecil kerana perbuatan itu berpotensi mengganggu operasi pengangkutan awam serta membahayakan orang ramai.
“Pencuri kabel ini perlu dikenakan hukuman yang lebih berat untuk memberikan satu mesej bahawa ini bukan kecurian biasa. Apabila berlaku kecurian kabel, kejadian itu melibatkan keselamatan orang ramai,” katanya.
Katanya, masalah tersebut turut dihadapi pelbagai pengendali rel termasuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), malah projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang belum memulakan operasi juga pernah menjadi sasaran pencuri kabel.
Kredit Foto:NSTP/AUDREY DERMAWAN
Sementara menunggu pindaan undang-undang dimuktamadkan, beliau menggesa pengendali rel memperkukuh kawalan keselamatan dengan menambah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik serta meningkatkan penugasan polis bantuan.
Terdahulu, perkhidmatan MRT Laluan Kajang dilaporkan mengalami kelewatan selepas berlaku cubaan mencuri kabel dan pencerobohan landasan pada pagi Jumaat.
Menurut Rapid KL, gangguan tersebut melibatkan perkhidmatan antara Stesen Phileo Damansara dengan Stesen Pusat Bandar Damansara.
Sumber: Astro Awani




